Menurut statistik undian yang dikumpulkan di web ini. Kelihatan jelas bahawa pelawat web zaharuddin.net kebanyakannya adalah golongan muda berumur 22- 30 tahun, lelaki dan wanita.
Pada hemat saya, adalah amat baik jika saya memberikan sedikit manfaat berkenaan kemahiran temuduga buat pengunjung terutamanya bagi mereka yang masih dan sedang bergelumang dengan dunia mencari pekerjaan dan temuduga.
Berdasarkan puluhan sesi mengendalikan temuduga semasa bertugas di industri korporat dan juga beberapa pengalaman rakan-rakan yang lain. Alhamdulillah, saya terlibat sebagai panel untuk menemuduga calon-calon yang punyai keputusan cemerlang seperti CGPA 3.5 ke atas, 'Mumtaz', 'First Class', 'Distinction' dan sebahagiannya mempunyai Ijazah Sarjana.
Malangnya, banyak kali saya dan rakan-rakan di sektor swasta dapati individu yang mempunyai kelayakan akademik cemerlang di Universiti tetapi ianya tidak banyak membantu calon semasa temuduga.
Saya bimbang dengan fenomena kegagalan sistem peperiksaan di Universiti yang gagal melahirkan seorang yang kreatif, beryakinan serta berbakat. Selain dari pengalaman saya sendiri dan juga apa yang kerap saya dengari dari rakan-rakan, ada graduan cemerlang yang seperti 'batu' semasa interview dan ada juga yang langsung tidak mampu menjawab soalan panel yang berbentuk ujian emosi dan kreativiti menjawab. Mungkin kerana soalan itu tiada dalam silibus buku mereka agaknya.