Pelbagai Masalah Rumah Tangga
Soalan
Saya ada sedikit kemusykilan tentang perkahwinan saya yang telah berlangsung selama dua tahun. Pada awal perkahwinan, selalu berlaku krisis antara saya dan isteri. Isteri saya seorang yang lumpuh separuh badan yang mana emosinya kadang-kadang amat mudah terganggu dan terlalu sensitif. Kadangkala kelakuannya melampaui batas. Saya cuba bersabar dengan tingkah lakunya, tetapi sebagai manusia biasa kesabaran itu ada hadnya. Semasa berlaku krisis itu, kami sering berutus surat walaupun duduk serumah untuk memberitahu is hati masing-masing. Soalan saya ialah:
a. saya pernah menyatakan dalam surat bahawa jika dia keluar rumah tanpa kebenaran saya, akan jatuh talak satu terhadapnya. Tidak lama selepas itu, saya membatalkan syarat saya itu, akan tetapi saya tidak memberitahunya. Apakah hukumnya jika isteri saya keluar juga rumah tanpa kebenaran saya selepas saya membatalkan syarat tersebut? Adakah jatuh talak saya terhadap dia?
b. dia ada memaki hamun dan menghalau saya dari rumah serta meminta cerai dari saya dan menghubungi ibu saya menuntut supaya saya menceraikannya. Perkara ini berlaku beberapa kali. Adakah dikira nusyuz dan jatuh talak?
c. dalam satu surat lain, oleh kerana saya tidak tahan, saya telah mengatakan kepadanya, "saya pulangkan kamu balik kepada ibu kamu." tetapi dalam hati saya ketika itu tidak bermaksud untuk menceraikannya, maksud saya ialah oleh kerana dia seorang yang kurang upaya dan perlukan lebih penjagaan, maka saya akan serahkan dia kepada ibunya untuk dijaga kerana saya merasakan ketika itu dia tidak memerlukan jagaan dari saya.
d. di suatu ketika, dia telah mengadu kepada mahkamah dan ingin menuntut cerai dari saya dengan alasan saya mempunya wanita lain. Tetapi perkara itu tergantung begitu saja kerana keadaan bertambah baik. Tetapi apa yang dilakukannya seolah-olah ingin meminta cerai dari saya. Adakah telah jatuh talak?
e. kami telah berkahwin pada 02/10/2003 dan pada 04/05/2004 isteri saya telah melahirkan anak kami. mengikut perkiraan saya dari apa yang telah saya pelajari, anak kami ini ialah anak yang sah tarafnya kerana cukup enam bulan berada dalam perut ibunya. Harap perbetulkan jika berlaku kesilapan.
Saya harap ustaz dapat menghuraikan kekusutan ini. jawapan ustaz amat penting kerana keluarga saya enggan menerimanya kembali setelah dia menghalau saya keluar rumah sedikit masa dulu, dengan alasan talak telah jatuh berdasarkan perkara-perkara di atas. Saya tidak pernah melafazkan apa-apa talak ke atasnya sehingga kini dan kini kami ingin memulakan hidup baru bersama anak kami dan bertaubat atas segala kesalahan yang telah kami lakukan.
- Kiriman azmie -
a) Apa yang saudara lakukan adalah dikira talaq secara ta'liq (mengikat jatuhnya talaq kepada sesuatu perkara), maka dalam hal ini, jika isteri saudara melanggar ta'liq (iaitu ia keluar rumah tanpa kebenaran) maka jatuhlah talaq satu kepada isteri saudara.
Tidak, menurut pandangan empat mazhab dan juga undang-undang keluarga islam yang terpakai di Malaysia, saudara tidak boleh membatalkan ta'liq yang telah di buat. (Rujuk Nizom al-Usrah, Dr Muhd 'Uqlah, 3/146). Maka apa yang boleh dibuat adalah saudara dengan segara membuat ruju' dengan isteri saudara kembali. Bilangan talaq yang dipegang oleh saudara berkurangan menjadi dua (2) kali lagi.
Saudara boleh melakukan rujuk samada dengan kata-kata atau perbuatan. Kata-kata seperti : "Aku rujuk kembali denganmu dan kamu kembali menjadi isteriku" atau apa perkataan sepertinya.
Manakala rujuk dengan perbuatan adalah dengan melakukan persetubuhan dengan isteri yang telah ditalaq dalam tempoh 'iddahnya. Bagaimanapun sebelum bersama dengan isteri, di syaratkan terlebih dahulu untuk merujuknya dengan kata-kata, demikian menurut Mazhab Syafie. Tatkala itu, saudara dikira telah ruju' menurut hukum Islam, tetapi ia mestilah di buat sebelum tamat tempoh iddah isteri. (Rujuk Rawdah At-Tolibin, Imam An-Nawawi, 8/217; Fatawa Syar'iyyah, Dr Abd Qadir Abu Faris , 1/494 )
b) Benar, isteri yang memaki suaminya telah jatuh nusyuz (derhaka), ia tiada kaitan dengan talaq, dan talaq tidak jatuh.
Perlu diketahui bahawa isteri yang meminta-minta cerai dari suaminya adalah dicela menurut hukum Islam. Sebagaimana hadith :- "Mana-mana wanita yang meminta cerai dari suaminya tanpa mempunyai sebab yang diterima Islam, maka diharamkan baginya untuk mencium bau syurga" (Riwayat al-Hakim, 2/200, hadith yang sohih)
c) Adapun kenyataan saudara "saya pulangkan kamu balik kepada ibu kamu" , ia dikira lafaz kinayah, talaq tidak akan jatuh kecuali saudara berniat atau bermaksud talaq di dalam hati semasa melafazkan kata-kata itu.
d) Pengaduannya di mahkamah tidak memberi sebarang kesan, sepatutnya apabila si isteri ke mahkamah pihak mahkamah akan memanggil suami dan rundingan serta kaunseling akan dibuat. Keputusan selanjutnya akan dilihat dari hasil pertemuan tadi. Walaubagaimanapun, isteri yang teraniaya boleh melaporkan kepada qadhi atau pihak berkuasa bagi meminta cerai melalui peruntukan fasakh atau khulu' ( tebus talaq). Semuanya mempunyai syarat-syarat dan peraturannya.
e) Perkahwinan pada 2 Oktober 2003 dan lahir anak pertama pada 4 Mei 2004. Ini bermakna dalam tempoh sekitar 8 bulan, tuan mendapat anak pertama. Menurut majoriti mazhab tempoh untuk sabit nasab keturunan anak dengan si ayah adalah kelahiran berlaku selepas 6 bulan daripada tarikh bersama dengan isteri kali pertama. Justeru, seseorang lelaki boleh disahkan nasab dengan anaknya jika isterinya bersalin setelah 6 bulan ia bersama isterinya.(Rujuk ad-Durr al-Mukhtar, 2/857; Bidayatul Mujtahid, 1/118) Walaubagaimanapun, berbekalkan teknologi moden hari ini, seseorang dapat mengesahkan lagi nasabnya dengan bantuan DNA atau juga meneliti tempoh normal mengandung bagi kawasan setempat. Wallahu a'lam.
Ust Zaharuddin
Assalamualaikum Ustaz,
ReplyDeleteSedikit persoalan, isteri yang sedang mengandung telah ditalak taklik kalau keluar rumah jatuh talak dengan niat kalau isteri keluar lari terus dari rumah. (lafaz hanya kalau keluar rumah). Mengikut rujukan yang diambil oleh ustaz, akan jatuhlah talak apabila isteri keluar. Dan keesokannya, isteri keluar rumah.(Pasangan ini merasakan talak ini tidak jatuh kerana si suami telah menarik balik taklik yang dibuat walhal ia tidak boleh ditarik balik)
Persoalaannya ialah tiada lafaz rujuk di buat tetapi mereka bersetubuh.
3 bulan kemudian, mereka bergaduh dan suami melafazkan talak taklik, kalu isteri turun kereta, jatuh talak dua. Dan isteri telah turun kereta. Isteri masih lagi mengandung bayi yang sama ketika taklik kedua ini dibuat.
Kemudian isteri telah dirujuk dengan lafaz rujuk yang sah
Saya kira mereka hanya cerai talak satu. Kerana talak telah jatuh pada taklik awal.
Tetapi mereka perlu bertaubat kerana telah bersetubuh secara tidak sah untuk beberapa bulan.
Atau ia menjadi talak tiga?
Wassalam...
Assalamualaikum Ustaz,
ReplyDeletesya ingin bertanya, saya ada melafazkan talak tapi hanya sekadar mahu menyedarkan nya sahaja supaya isteri saya tahu apa yang di lakukn itu adalah salah. sah tak ustaz??