Tuesday, 19 October 2010

Dari Wales Ke Dubai (Kemaskini)


Saya bersyukur kerana dapat bersama dengan seorang lagi ulama terhebat di dalam bidang perbankan dan kewangan Islam sedunia semalam. Beliau adalah Prof. Dr Syeikh Hussain Hamid Hassan, beliau berasal daripada Mesir dan sekarang menetap di Dubai, UAE.  (buka di sini untuk info dirinya)

Kami bersama di dalam mesyuarat pertama, Majlis Penasihat Shariah Deutsche Bank (Islamic). Beliau duduk sebagai pengerusi. Ketika dihulurkan kad namanya, terkebil-kebil juga mata saya melihat kerana ia berlipat dua dan apabila dibuka lipatannya, ia penuh dengan senarai bank, syarikat kewangan dan badan fatwa yang dinasihati dan dianggotainya.
Beliau datang bermesyuarat hanya dengan kemeja tanpa tali leher, tanpa sebarang serban dan jubah. Langsung tidak kelihatan langsung 'gaya' seorang ulama atau cendiakawan Shariah.
Namun, kata-kata hikmah dan ilmunya adalah lebih bermakna dari pakaian luaran yang bertemakan ulama. Saya masih ingat bertanya kepada guru saya, Syeikh Prof. Dr Muhammad 'Uqlah ketika di Jordan dahulu.
"Mengapa Syeikh tidak berjubah serban seperti pakaian biasa seorang ulama?" tanya saya ringkas.
"Ye, aku tahu, memang amat elok sekali jubah dan serban tersebut, namun aku belum layak untuk memakainya, ia menyebabkan aku malu dengan diriku sendiri" jawab beliau lembut.
MasyaAllah, padahal ilmu beliau tidak dinafikan oleh sesiapa pun di Jordan. Namun masih sedemikian merendah diri. Memang amat terkenal dengan sikap tawadhunya di kalangan anak murid dan rakannya. Namun dalam bab markah, tiada kompromi dengan merit dan kualiti. Moga Allah menambahkan manfaat beliau dan anak-anak muridnya buat ummat sekaliannya.
Apapun, setiap individu yang mendalami ilmu Shariah pasti mempunyai sebab tersendiri untuk mengenakan pakai seperti ulama besar ke sana ke sini atau tidak. Niat seseorang adalah bukan urusan kita, namun salah satu sebab yang 'valid' bagi sebahagian ulama yang tidak berpakaian sedemikian adalah apa yang dijawab oleh guru saya tadi.
Apa yang lebih utama adalah ilmu dan amalnya berbanding seorang yang berpakaian bak ulama besar tetapi mulutnya amat ringan untuk mengutuk, memaki dan merendahkan orang lain. Kononnya dibuat di atas nama ilmu. Seorang Prof hadis di Jordan,  Syeikh Muhammad Al-Umari, pernah saya tanya tentang sikap sebahagian cendiakawan yang ringan dan keras mengkritik dengan makian dan cercaan. Beliau berkata,
"Setinggi manapun ilmu seseorang itu, jika ia mencerca dan memaki serta mengutuk, maka tiada banyak  ilmunya tidak berbekas di hati. Saya langsung kurang hormat kepada mereka"
Ada juga yang berkata, apa guna baju je ulama, kandungan kuliah dan ceramah tidak seperti ulama. Kosong, tiada inti dan kering. Moga semua kita terlindung darinya. Wallahu'lam. 
Kembali kepada kehebatan Syeikh Hussain,tercatat jelas di dalam lipatan kad nama beliau, nama-nama institusi seperti berikut, semuanya beliau terlibat aktif :-
1) Dubai Islamic Bank Group, Dubai
2) Dubai Financial Market
3) Sharjah Islamic Bank
4) Emirates Islamic Bank
5) Liquidity Management Centre, Bahrain
6) Amlak Finance Co, Dubai
7) Tamweel Finance, Dubai
8) National Bonds Corporation, Dubai
9) Emirates and Sudan Bank
10) Dar Istihmar, London
11) Al-Salam Bank, Dubai
dan banyak lagi, beliau juga adalah
1) Ahli fatwa Islamic Development Bank, Saudi.
2) Pakar Shariah, Majlis Perakaunan & Kewangan Islam Sedunia
3) Ahli, Majlis Fatwa Eropah
4) Ahli, Majlis Fiqh Antarabangsa
5) Penasihat, World Islamic League, Jeddah
6) President, Assembly of Muslim Jurist, USA
7) Prof Shariah, Univ Kaherah, Mesir
8) Penasihat undang-undang, presiden Kazakstan
Demikianlah senarai panjang tokoh ulung ini. Jika ada mana/mana individu yang ingin berkecimpung atau hampir dengan kewangan Islam tetapi tidak mengenalinya dan sumbangannya, maka ibarat tidak lengkaplah mereka.
Cuba anda bayangkanlah kesibukan beliau, lepas satu meeting, satu meeting menanti. Semasa tiada meeting, pelbagai ideanya diperlukan. Pelbagai dokumen perlu disemak. Kerana itulah saya berasa segan untuk merasa sibuk tidak kira semasa di sini atau di Malaysia, setiap kali rasa diri sibuk, terfikir betapa lebih sibuk dan bermaknanya sumbangan ulama besar seperti beliau. Moga Allah merahmatinya dan ulama yang sepertinya.
MASA UNTUK KELUARGA 
Teringat saya akan Syeikh Dr Abd Sattar Abu Ghuddah, seorang lagi ulama terhebat kewagan Islam yang sempat saya bersama beliau dalam Majlis Penasihat Shariah sebagai Setiausahanya. Ketika beliau mengeluarkan jadual e-ticketbeliau semasa kami bermesyuarat di Qatar. MasyaAllah, Dubai-Doha-London-Riyadh-Dimash...... demikianlah dari satu flight ke satu flight disusunnya. Menghadiri mesyuarat Shariah itu dan ini di seluruh dunia .
Setiap kali saya menelefonnya, 90 % darinya sudah pasti beliau menjawab perlahan memberitahunya sedang berada di dalam mesyuarat. Lalu waktu lepas subuh adalah waktu paling sesuai saya hubungi untuk bercakap dengan beliau, kerana  mesyuarat kebiasaannya belum bermula. Terfikir saya akan keluarganya. Bilakah masa untuk mereka. Saya menggagahkan diri bertanya : 
"Syeikh, bagaimana masa untuk keluarga, Syeikh kelihatan terlalu sibuk dan travel ke merata dunia, masa banyak dihabis di atas kapalterbang?" soalan direct dari saya.
"2 hari hujung minggu pada setiap bulan pasti aku akan pulang ke Syria untuk keluarga, tiada gangguan" katanya
Ini bermakna hanya 2 hari atau 8 hari dalam sebulan adalah untuk keluarganya? Demikian pengorbanannya dan keluarganya. Hanya keluarga yang mantap jitu yang mampu membenarkan sang suami lepas berjuang sedemikian rupa. Moga Allah menambahkan manfaat beliau untuk ummat.
MEETING DI DUBAI
Mesyuarat pertama semalam tidak mengambil masa yang panjang, hanya sekitar 3 jam sahaja. Selain Syeikh Hussain dan saya, seorang lagi ahli Shariahnya adalah Dr Muhammad Qassem dari Pakistan, yang juga merupakan anak murid Syeikh Hussain.
Peluang bersama dalam satu Majlis Shariah dengan tokoh-tokoh ini tidak akan saya lepaskan dengan hanya duduk membatu sahaja. Manfaatkan semaksima mungkin, bersembang di luar mesyuarat adalah waktu terbaik. Bagi saya ia adalah antara cara pengajian yang terbaik, iaitu dengan bertukar dan bertanya soalan dan diskusi jawapan dengan tokoh-tokoh ilmuan yang hebat. Rugilah bagi mereka yang sempat 'bertalaqqi' di mana-mana tetapi hanya senyap membatu dalam majlis tanpa sebarang soalan dan perbincangan dengan guru anda.
Di Dubai, saya ditempatkan oleh pihak bank di hotel Jumeirah Emirates Hotel, salah satu hotel orang kaya, kata rakan saya yang bertugas di Dubai. Satu malam sahaja mencecah ribuan ringgit. Saya tiada banyak komen berkenaan Dubai, permandangannya lebih kurang sama dengan Doha sahaja cuma ia lebih besar dan bangunannya lebih canggih reka bentuknya. Bakinya adalah padang pasir. Pembangunan dan pembinaan bangunan tinggi masih banyak dalam proses, namun dalam banyak-banyak perkara besar, tinggi, cantik dan unik di Dubai. Yang paling pelik adalah airportnya.
Salah satu jalan utama dubai, dari jendela bilik hotel
Gambar : Salah satu jalan utama di Dubai, diambil dari Jendela bilik saya di Emirates Tower.
Gambar : Jalan utama Dubai, diambil dari bullet lift di Emirates Hotel
ini dia
 Gambar : Inilah Jumierah Emirates Tower, saya ditempatkan di tower kedua di tingkat 35


Diambil dari bilik saya
 Gambar : Jumeirah Emirates Tower, saya ambil gambar ini dari jendela bilik di menara yang satu lagi.

Bahagian dalam airportnya adalah amat besar dan meletihakan jika berjalan. Namun apa yang pelik adalah laluan kenderaan untuk masuk ke terminal departure dan arrival, ia terlalu kecil dengan hanya satu lane sahaja, ia menyebabkan jammed teruk. Saya yakin, mungkin mereka yang tidak biasa dengan Dubai, boleh terlepas kapal terbang mereka jika begini keadaannya. Mujur saya tidak tergolong dalam kategori tersebut. Maklumlah, saya pun baru pertama kali menjejakkan kaki ke bandar dubai, sebelum ini hanya transit di airportnya sahaja.
Sedikit malang, saya tidak sempat untuk berjalan melihat tempat tarikan utama di Dubai seperti Burj Al-Arab disebabkan rakan yang sudah sepakat untuk bertemu dan membawa saya meronda Dubai, mendapat berita kecemasan dari Malaysia, ibunya dimasukkan ke ICU dan beliau perlu bergegas kembali ke Malaysia pada hari yang sama. Semoga ibunya cepat sembuh. ameen
SOLAT SUBUH DAN KIRA-KIRA
Saya menaiki kapal terbang KLM kali ini, pihak bank memberikan saya 'seat Bussiness Class', cukup besar dan kerusinya boleh dijadikan katil dan berbaring sambil melunjur kaki. Pertama kali saya menaiki business class untuk penerbangan antarabangsa. Dunia..dunia memang boleh memukau.
Biasanya, saya akan mencatat terlebih dahulu waktu solat di setiap tempat yang akan saya singgah agar solat dapat didirikan sebaiknya dalam waktunya. Kadangkala memang agak pening juga, mana tidaknya, jam asyik bertukar, hasilnya waktu solat juga berubah.
Perjalanan dari Amsterdam ke Dubai, penentuan Qiblat mungkin agak mudah untuk solat jama qasar di dalam kapal terbang disebabkan qiblat menghala ke hadapan, ia boleh dilihat dengan jelas dari flight information yang sentiasa dipaparkan. Justeru, boleh mendirikan solat sambil duduk sahaja.
Namun penerbangan pulang dari Dubai ke Amsterdam, ada dua perkara penting untuk saya fikirkan,
1)      Penerbangan Dubai ke Amsterdam akan menyebabkan kapalterbang membelakangi qiblat pada banyak masanya. Justeru solat duduk menghadap ke hadapan di ketika YAKIN tidak menghadap arah qiblat yang betul adalah tidak sah. Jika anda kata, anda yakin..itu keyakinan palsu kerana anda tahu, ia membelakangi qiblat. Sebenarnya mudah sahaja, pergi sahaja ke bahagian pintu kapalterbang ( di tempat pramugari duduk masa kapal terbang nak berlepas), di situlah tempat yang sesuai untuk solat menghadap ke balakang, selesa dan boleh berdiri. Di situlah saya solat subuh tadi. Mereka amat menghormati permintaan anda.
2)      Bilakah waktu Subuh akan masuk.  Saya bertolak dari Dubai pada jam 00.10 pagi. Subuh di Dubai adalah pada jam 4.32 pagi. Namun semasa atas kapal terbang jika Dubai jam 4.32 pagi, Amsterdam adalah jam 2.32 pagi.
Sekarang bilakah saya perlu solat subuh di dalam kapalterbang, terdapat pelbagai cara dan teknik untuk mengenalpastinya. Namun cara yang saya gunakan mungkin agak sukar untuk saya terangkan dalam bentuk ayat tersusun. Lebih kurangnya ia seperti berikut :-
1)      Saya dapatkan waktu solat Dubai dan beza waktu dengan waktu destinasi.
2)      Saya dapatkan waktu solat di destinasi dan transit.
3)      Saya dapatkan perbezaan jam dari tempat bertolak (Dubai), transit(Amsterdam) dan destinasi(Cardiff).
4)      Saya dapatkan info untuk budjet syuruq dari gambar peta yang memaparkan lingkungan malam siang.
5)      Sebelum solat dibuat, lihat peta paparan di kapalterbang, anda berda di atas negara mana atau zon mana secara umum setakat kemampuan.
6)      Akhirnya, saya solat subuh mengikut waktu Amsterdam iaitu bermula jam 3.51 pagi sehingga 6.20 pagi.
7)      Justeru ketika kapalterbang berada 1 jam 30 minit lagi untuk sampai ke Amsterdam, dan jam menunjukkan 4.00 pagi waktu saya solat di atas kapalterbang. Ini kerana waktu Dubai lewat dua jam dari waktu asmterdam. Justeru jika Amsterdam bermula subuh jam 3.51. Ini bermakna kawasan yang berada 1 jam dari Amsterdam sudah masuk Subuh pada jam 4.00 pagi waktu amsterdam. Wallahu'alam.
Tidak mengapalah, susah juga untuk saya merekodkan semula kiraan-kiraan saya di dalam artikel ini. Saya pun sedang berada bertransit di Amsterdam sekarang ini. Namun, kesimpulan saya, janganlah hanya berpuas hati dengan solat hormat waktu sahaja atau lebih mudah terus qadha sahaja. Cubalah berusaha untuk membuat kira-kira sendiri demi untuk solat pada waktunya.
Berkenaan wujudkah solat hormat waktu dalam Islam, itu memerlukan perbincangan berbeza.
Saya sempat menangkap beberapa keping gambar sahaja di Dubai. Akan dimasukkan kemudian.
Sekadar itu coretan ringkas, sedang menunggu flight sambungan ke Cardiff..
Zaharuddin Abd Rahman
Amsterdam Airport
14 Ogos 2008

No comments:

Post a Comment