Ada rakan-rakan ustaz memberitahu saya bahawa mereka agak tertekan dan sering ditipu oleh pelbagai pihak termasuk rakan yang dikenalinya.
Kes para agamawan ditipu jarang didedahkan, namun tidak dinafikan banyak juga kes ‘ustaz' menipu. Namun fokus tulisan ini adalah kes agamawan yang menjadi mangsa dan terperangkap di dalam dilema akibat status dirinya sebagai agamawan atau ‘ustaz' sehingga akhirnya memaksa dirinya untuk ‘terpaksa redha' diri dizalimi.
Terlalu banyak bentuk penipuan yang dicipta oleh manusia, cuma bentuk-bentuk penipuan tertentu sahaja yang akan menjadi fokus di dalam tulisan saya kali ini.
"Ustaz, boleh tak ustaz jadi penasihat kepada produk kami?" Tanya seorang pemilik syarikat kepada seorang ustaz terkenal bertitle Dato'.
"Produk apa ni?" Tanya ustaz tersebut.
Setelah diterangkan jenis dan semua yang berkaitan produk, rupa-rupanya ia adalah satu skim MLM. Sang ustaz mula membuat muka kurang selesa dan kurang minat.
"Tak apa ustaz, ustaz tak perlu buat apa-apa pun, saya akan mudahkan urusan ustaz, saya akan masukkan ustaz di bawah downline dan ustaz tidak perlu bayar apa-apa pun, saya akan bayarkan dan kemudian saya akan usahakan untuk penuhkan downline ustaz, ustaz hanya perlu tunggu duit sampai sahaja setiap bulan" Ulasnya dengan penuh semangat.
Kali ni wajah sang ustaz sudah berubah, lebih cerah nampaknya dengan senyuman mula terukir diwajahnya.
"Kalau begitu, oklah, saya serahkan kepercayaan kepada enta untuk memajukannya" kata ustaz memberi persetujuan.
"Alhamdulillah, semoga Islam akan terus diperkuat dengan kekuatan ekonomi umat Islam, ustaz isi borang ini ya" Tersenyum besar sang jurujual sambil tangannya menghulur borang keahlian.
Berlalu beberapa bulan dan masuk tahun, tiada apa yang diperolehi oleh sang ustaz. Mujur tidak dikeluarkan sebarang modal namun tanpa disedari dirinya sedang ditipu. Namanya digunakan oleh penjual sebagai pelaris.
Pertama: Kononnya ustaz popular itu memberikan pengesahan. Kedua : dipromosi agar orang ramai sertai sebagaidownline ustaz, boleh bantu kewangan dia, bantu Islam, padahal semuanya adalah tipu.
Inilah bentuk pertama yang kerap saya dengari dan mendapat aduan. Ada ustaz yang berkata kepada saya, mereka sudah tidak ingat berapa banyak mereka masuk skim perniagaan, malah ada sebahagian ustaz yang turut mengeluarkan modal tetapi dek kesibukan ceramah dan lain-lain, mereka langsung tidak mampu untuk menyemak perkembangan penjualan. Akhirnya semua terbengkalai dan barulah mereka menyedari mereka telah ditipu.
"Lurus bendulnya seseorang ustaz membuka peluang lebih luas untuk dia ditipu" tegas seorang sahabat saya dengan reaksi kurang puas hati dengan situasi tersebut.
"Masalahnya akhi, ustaz-ustaz ini banyak yang bersangka baik, lantas sangka baik mereka dimanipulasi oleh pihak yang tidak amanah ini" saya cuba memberikan pandangan.
Itu hanyalah bentuk pertama, berpuluh malah beratus lagi bentuk dan cara penipuan dilakukan terhadap para agamawan, mereka di'permain' sama ada secara sengaja atau tidak.
PENIPUAN KEDUA
Berdasarkan pengalaman rakan-rakan saya dan guru saya di Jordan, ini pula bentuk kedua :
"Kami ingin menawarkan kepada Dr, membukukan semua nota-nota pengajian yang Dr pakai di Universiti, kemudian lebih mudah untuk Dr memberikannya kepada pelajar, boleh jual sahaja, di samping itu boleh juga Dr dapat sedikit keuntungan hasil jualan, dan kami juga akan memberikan royalti kepada Dr" Demikian salah satu bentuk tawaran seorang wakil penerbit buku kepada seorang pensyarah di Universiti.
Tanpa banyak fikir lagi, pensyarah di dalam bahagian Fiqh ini bersetuju. Wajahnya berbunga-bunga memikirkan amat bagusnya cadangan itu untuk dunia dan akhiratnya.
"Betul tu Dr, sambil menyebar ilmu boleh juga mendapat sedikit imbuhan dunia untuk menampung keperluan kehidupan" Pantas sang wakil penerbit menarik hati sang pensyarah lagi.
Buku sudah terbit dan pensyarah bergembira kerana mudah menjual bukunya kepada pelajarnya, tiada lagi nota-nota yang terpisah-pisah dan tidak kemas. Buku itu juga terjual bagus di pasaran, namun akibat tiada kontrak di antara penerbit dan pensyarah. Penerbit berdiam diri, bila pensyarah menelefon, dikatakan buku kurang terjual, justeru tiada royalti, padahal buku terjual dengan baik. Malah dalam beberapa keadaan, walaupun terdapat perjanjian bertulis, penulis tidak diberikan sebarang royalti. Pihak pensyarah yang juga merupakan seorang ‘ustaz' itu pula, berasa ‘malu' untuk kerap bertanya kerana berasa diri seolah materialistik. Akhirnya dia terus ditipu.
Itu adalah satu kes yang turut menimpa seorang guru saya yang bertitle Professor Doktor di Jordan, dan juga ramai rakan penulis berlatarbelakang agama di tanahair. Mereka serba salah untuk bertanya dan menyelidik kerana kelak dituduh ‘mata duitan', ‘tidak ikhlas dalam menyampaikan ilmu' dan macam-macam lagi. Akhirnya mereka "terpaksa redha', hak mereka terus tergadai dan mereka pasrah yang berserah kepada Allah swt semata-mata.
Pasrahnya mereka membuka lebih banyak ruang penerbit untuk mempergunakan para ustaz. Penerbit tadi, mula menyampaikan hasil ‘kejayaan' penipuan mereka kepada penerbit lain dan akhirnya banyak penerbit yang mencari mangsa-mangsa ‘ustaz'.
Para ustaz dijadikan ‘mangsa' dan sumber untuk mereka meraih keuntungan jualan buku, khususnya di musim masyarakat semakin gemar membeli buku-buku ilmu Islam. Lihatlah, bagaimana sikap tolak ansur seorang ustaz, telah eksploitasikan oleh lebih banyak penerbit dan berterusan si ustaz dengan kehidupan biasanya, sedangkan penerbit terus memenuhkan poket mereka.
Memang benar, sang ustaz akan terus mendapat pahala berganda di sisi Allah swt, namun Islam tidak mengajar kita bersikap naif dan membiarkan hak dan perjanjian dilanggar begitu sahaja. Namun apakan daya, kebimbangan sang ustaz digelar mata duitan yang boleh merosakkan namanya, dirasakan mudarat amat besar, lalu mengambil keputusan untuk berdiam diri sahaja. Inilah bentuk kedua para ustaz ditipu. Melalui buku tulisannya.
PERANGKAP BENTUK KETIGA
Jika bentuk kedua, bukunya menjadi medium. Kali ini penulisan kreatifnya pula menjadi sasaran penerbit akhbar dan majalah.
Berpusu-pusu penerbit majalah meminta sang ustaz menulis untuk majalah mereka. Pihak penerbit menjanjikan sejumlah honorium untuk semua kolumnis dan penulis jemputan. Para ustaz turut tergolong dalam senarai penulis. Lalu, sang ustaz bersetuju untuk menulis dalam pelbagai isu keagamaan.
Ada ustaz yang memang ikhlas sedeqah ilmunya lalu ditulis secara percuma, ini tidak menjadi masalah. Namun sebahagian yang lain bersetuju dengan honorium. Kedua-duanya harus di sisi Islam, malah tidak boleh dinafikan keikhlasan mana-mana pihak, sama ada yang menulis percuma atau yang berbalas honorium. Kesemua mereka mempunyai latar belakang tanggungjawab kewangan yang tidak kita ketahui. Justeru berhentilah dari mempertikaikan keikhlasan seseorang ustaz, ia bukan urusan kita, ia urusannya dengan Allah swt.
Kita tidak mampu mengetahui senarai kewajiban seseorang. Mungkin sahaja sang ustaz :-
· Dan banyak lagi situasi yang TIDAK MAMPU difahami dan sukar diketahui oleh orang ramai.
Justeru, tahanlah diri dari bersangka buruk kepada mana-mana ustaz, jika mereka menuntut bayaran honorium yang dijanjikan. Mungkin sahaja mereka sedang bertungkus lumus menyelesaikan beberapa tuntutan kewajiban kewangan lain, maka bayaran honorium yang dihulurkan itu amat perlu baginya untuk mengurangkan bebannya. Itu sama sekali tidak salah di sisi Islam.
Namun, kerana dirinya ‘ustaz', ada di antara lebih mudah ditipu. Tulisan mereka diambil dan diterbitkan tetapi TIADA sebarang honorium diberikan. Benar, jika tulisan sang ustaz disebarkan secara percuma di masjid dan surau atau di mana-mana sahaja secara tidak komersial, tentulah kurang tepat untuk si ustaz meminta bayaran, kerana masing-masing dibuat secara percuma.
Namun apabila tulisan si ustaz, diambil, disiar dan dikomersialkan, disebarkan dengan bayaran melalui akhbar, majalah dan bulletin yang cetak dan jual. Penjual atau penerbit dengan senang lenang, ‘makan seorang' dari hasil setiap jualan, tetapi menafikan hak sang penulis hanya kerana dia seorang ‘ustaz‘ dan kononnya perlu ikhlas menulis tanpa bayaran?.
Ia adalah satu bentuk penipuan dan penindasan yang tidak wajar sama sekali. Namun demikian, hal ini semakin kuat merebak di seluruh Malaysia, penerbit sudah mula tahu, ayat-ayat penghinaan yang perlu dihamburkan kepada sang ustaz, jika sekiranya sang ustaz bertanya hal pembayaran. Sang ustaz pula menjadi bimbang untuk bertanya dan akhirnya terus diam dan ‘dipaksa redha'.
ISU USTAZ DAN BALASAN DUIT
Isu ini pernah ditulis oleh beberapa orang rakan ustaz di dalam blog mereka dengan ulasan yang pelbagai.
Selain pengalaman saya sendiri, saya turut kerap mendengar pihak penerbit dan penjemput ceramah menuntut si ustaz untuk IKHLAS dalam menyampaikan ilmu, mereka menuntut ustaz untuk ILKHLAS menyedeqahkan ilmu mereka tanpa bayaran.
"bukankah ilmu Islam itu milik Allah swt" kata mereka lagi.
Namun, mereka lupa bahawa si ustaz adalah seorang manusia yang perlu wang untuk menjalankan tugasnya sebagai manusia dan pendakwah sekaligus.
Saya juga terfikir, bila pula pihak penerbit dan yang menjemput untuk menghulurkan derma kepada bantuan ustaz secara ikhlas? Ya, bila pula mereka ingin belajar menderma secara ikhlas kepada sang ustaz yang bersusah payah meluahkan waktu dan tenaga untuk hadir berkuliah.
"Ala dia ustaz, dia la yang kena ikhlas, jangan jual agama!" itu tegas para penjemput dan penerbit bila diajukan hal ini.
Begitu kejinya permainan psikologi mereka sehingga tergamak menuduh ustaz yang dijemputnya sebagai menjual agama. Lebih keji, selepas ini disebarkan di forum-forum internet dan seluruh masjid dan surau yang lain, menghasut agar jangan dijemput lagi ‘ustaz duitan' ini dan kononnya ustaz ini menjual agama.
Fahamkah dia maksud ‘jual agama' yang sebenarnya?
1) Allah swt berfirman :
وَآمِنُواْ بِمَا أَنزَلْتُ مُصَدِّقاً لِّمَا مَعَكُمْ وَلاَ تَكُونُواْ أَوَّلَ كَافِرٍ بِهِ وَلاَ تَشْتَرُواْ بِآيَاتِي ثَمَناً قَلِيلاً وَإِيَّايَ فَاتَّقُونِ
Ertinya : Dan berimanlah kamu kepada apa yang telah Aku turunkan (Al Qur'an) yang membenarkan apa yang ada padamu (Taurat), dan janganlah kamu menjadi orang yang pertama kafir kepadanya, dan janganlah kamu menukarkan ayat-ayat-Ku dengan harga yang rendah, dan hanya kepada Akulah kamu harus bertakwa ( Al-Baqarah : 41)
2) Firman Allah SWT :
اشْتَرَوْاْ بِآيَاتِ اللّهِ ثَمَنًا قَلِيلاً فَصَدُّواْ عَن سَبِيلِهِ إِنَّهُمْ سَاء مَا كَانُواْ يَعْمَلُونَ
Ertinya : Mereka menukarkan ayat-ayat Allah dengan harga yang sedikit, lalu mereka menghalangi (manusia) dari jalan Allah. Sesungguhnya amat buruklah apa yang mereka kerjakan itu ( At-Taubah : 9)
3) Nabi Muhammad s.a.w bersabda :-
"Akan timbul di akhir zaman orang-orang yang mencari keuntungan dunia dengan menjual agama. Mereka menunjukkan kepada orang lain pakaian yang dibuat darIpada kulit kambing (berpura-pura zuhud dari dunia) untuk mendapat simpati orang ramai, dan percakapan mereka lebih manis daripada gula. Padahal hati mereka adalah hati serigala (mempunyai tujuan-tujuan yang jahat)... (Riwayat At-Tirmizi)
Apakah erti menjual agama di dalam ayat dari surah al-Baqarah dan At-Taubah itu? Berikut adalah ringkasan tafsirannya dari pelbagai jenis tafsir :-
· Tafsir Jalalain[1]
At -Taubah : 9 : Mereka menjual ayat - ayat Allah, al - Quran, dengan harga murah, berupa dunia ini. Ertinya, mereka meninggalkan mengikuti ayat - ayat tersebut demi keinginan dan hawa nafsu. Lalu, mereka menghalang - halangi manusia dari jalan Allah, agamaNya.
al - Baqarah: 41 : "Janganlah kalian menjual - iaitu mengganti ayat - ayat Allah yang terdapat dalam kitab, dengan harga yang sedikit, iaitu dengan perhiasan dunia yang sangat kecil. Ertinya, janganlah kalian menyembunyikan ayat - ayat tersebut karena takut kehilangan apa yang kalian ambil dari manusia"
· Tafsir al - Qurtubi[2]
At - Taubah : 9 : Mereka mengganti ayat - ayat Allah, al - Quran, demi perhiasan dunia. Lalu mereka menghalang - halangi manusia dari jalan Allah. Mereka menjual ayat - ayat dengan harga murah, ertinya, Yahudi menjual ayat-ayat Allah dan penjelasanNya demi mendapatkan kepemimpinan ( riyasah) dan mendapatkan harta benda.
Al - Baqarah: 41 : Sekalipun ayat ini khusus bagi bani Israil, ayat ini mencakup siapapun yang mengerjakan perbuatan mereka. Kerana itu, siapa saja yang mengambil sogokan ( risywah ) untuk mengubah kebenaran, menyatakan batil suatu kebenaran, menolak mengajarkan apa yang wajib dia ajarkan, menolak melakukan apa yang ia ketahui, ia masuk dalam hal ayat tersebut..
· Tafsir Ath - Tobari[3]
At - Taubah : 9 : Iaitu perbuatan mereka membeli kekufuran dengan iman dan membeli kesesatan dengan petunjuk serta menghalang - halangi orang - orang yang beriman kepada Allah dan RasulNya itu dan orang - orang yang hendak menjadi beriman.
Al - Baqarah : 41 : Penjualan mereka seperti itu berarti mereka meninggalkan keterangan yang ada dalam kitab mereka tentang Nabi Muhammad SAW dari masyarakat, padahal di dalam kitab itu disebutkan bahwa beliau adalah nabi yang ummi, baik dalam Taurat maupun Injil. Penjualan dilakukan dengan harga murah, yaitu berupa kesukaan mereka untuk mendapatkan pangkat dari golongan dan agama mereka, dan mereka pun mendapatkan imbalan atas apa yang mereka jelaskan kepada masyarakat itu.
· Tafsir Ibnu Katsir [4]
At - Taubah : 9 : Mereka menjual ayat - ayat Allah dengan harga sedikit, " Ertinya, mereka menolak mengikuti ayat - ayat Allah kerana digelincirkan oleh urusan - urusan dunia yang rendah. " Lalu mereka menghalang - halangi orang ramai dari jalanNya, iaitu mereka menghalangi kaum Mukmin untuk mengikuti kebenaran ( Al - Haq ).
Al - Baqarah : 41 : Ertinya janganlah kalian menukar keimanan kepada ayat - ayat Allah dan kebenaran Rasul, ini dengan dunia dan segala daya tariknya. Sebagaimana juga yang disebutkan oleh Hasan al-Basri, ‘ harga sedikit ‘ maknanya adalah dunia dan segala isinya, sedangkan menurut Sa'ad bin Jubair, ‘ dunia dan segala daya tarikannya'.
KESIMPULAN TAFSIR ‘JUAL AGAMA'
Jelas dari tafsiran para ulama tafsir, ‘menjual agama' yang disebut di dalam ayat dan hadis itu merujuk kepada : -
1. Kumpulan ahli agama atau mana-mana umat Islam yang menghalalkan yang haram demi menjaga gaji dan status kedudukan mereka. Memutarbelitkan kebenaran hanya kerana mempertahankan kebatilan.
2. Kumpulan ahli agama atau mana-mana umat Islam yang menyembunyikan kebenaran islam dari disampaikan kerana menjaga pangkat dan kedudukan mereka serta mencari keredhaan majikan dan pemerintah.
3. Kumpulan ahli agama atau mana-mana umat Islam yang menukarkan erti dan tafsiran ayat Al-Quran dan Hadis demi menyokong sesuatau tindakan batil dan salah mereka, demi menjaga kedudukan, pangkat dan harta mereka.
Justeru itu, jelas bahawa para agamawan yang menyediakan masa untuk membuat kajian, bertungkus lumus menggunakan skill menulis, mengerah idea menyiapkan slide dan modul canggih lagi menarik, mengorbankan masa menuju ke tempat ceramah dan sebagainya. Adakah jika mereka mengharapkan sedikit imbuhan atas kerja mereka, untuk menampung kos minyak kereta dan tambang tiket, dan imbuhan hasil masa yang diperuntukan itu dikira menjual agama, seperti konteks ayat tadi?. Tidak sama sekali.
Jika itu juga ingin dianggap sebagai menjual agama, bagaimana dengan Khalifah Abu Bakar as-Siddiq dan khalifah yang yang lain?, mereka dihalang oleh sahabat lain dari bekerja luar semasa beliau menjadi khalifah, agar beliau boleh menumpukan diri untuk tugas dan manah sebagai khalifah.
Diriwayatkan oleh Ibn Said dengan sanad mursal, dengan perawi yang thiqah :-
قال : " لما استخلف أبو بكر أصبح غاديا إلى السوق على رأسه أثواب يتجر بها ، فلقيه عمر بن الخطاب وأبو عبيدة بن الجراح فقال : كيف تصنع هذا وقد وليت أمر المسلمين؟ قال : فمن أين أطعم عيالي؟ قالوا : نفرض لك . ففرضوا له كل يوم شطر شاة
Ertinya : Apabila Abu Bakar r.a dilantik menjadi khalifah, beliau bergegas setiap hari ke pasar di atas kepalanya dibawa sebeban baju untuk diniagakan, tatkala itu beliau terserempak dengan Umar al-Khattab dan Abu Ubaidah AL-Jarrah r.a lalu berkata : Apakah yang kamu lakukan ini, sedangkan kamu telah dilantik memegang urusan kamum muslimin (khalifah)?.
Abu Bakar berkata : Nah, lalu bagaimana cara untuk akau memberi makan kepada keluargaku?
Mereka membalas : Kamu akan bertanggungjawab tentangnya, maka diperuntukkan baginya setiap hari satu bahagian kambing" ( Rujuk Fathul Bari, Kitab Buyu', Ibn Hajar, hlm 356)
Gaji diberikan kepada khalifah AGAR MEREKA BOLEH MENUMPUKAN MASA untuk melaksanakan amanah khalifah dengan berkesan. Keseluruhan gaji khalifah ketika itu adalah 6000 dirham setahun.[5]
Bukankah Abu Bakar r.a bersetuju dengan gaji itu, demikian juga para sahabat lain yang memegang pelbagai jawatan gabenor di zaman Abu Bakar, Umar r.a dan lainnya? Bukankah semua sahabat yang hidup ketika itu tidak membantah sebagai tanda wujudnya ijma sahabat berkenaan harusnya seseorang yang melaksankan tugasan dan amanah Islam, mengambil upah atas masanya. Inginkah kita menuduh Khalifah Abu Bakar menjual agamanya hanya kerana beliau mengambil gaji selaku khalifah? Inginkah kita mengatakan kepada beliau:
"ikhlaskah dalam menjalankan tugas khalifah tanpa gaji?, atau akan dikira menjual agama juga?!"
Ini bermakna halal di dalam Islam untuk mengambil gaji atau upah atas masa yang diperuntukan, walaupun sedang melaksanakan satu tugas berkaita hal keislaman [6]. Hal yang sama terpakai bagi para ustaz yang menumpukan masa menulis artikel di majalah, buku, ceramah dan sebagainya. Juga terpakai buat semua para imam masjid yang bergaji, bilal, para pensyarah universiti di fakulti Islam. Puluh ribuan ulama Islam menjadi pensyarah dan professor di pelbagai Universiti termasuk Al-Azhar, Ummul Qura, Madinah dan lainnya. Adakah mereka juga menjual agama kerana mengambil gaji hasil dari kuliah berkenaan Islam yang diberikan di universiti terbabit? Tidak sama sekali.
"Tapi ustaz, semua orang berhak menerima ilmu agama, justeru mengapa perlu ustaz-ustaz ni minta bayaran bila menyampaikan ilmu tu?" seorang guru bertanya kepada saya.
"Kalau itulah hujahan agar usaha pemberian ilmu itu dibuat percuma, maka, cikgu pun wajib sampaikan ilmu membaca, menulis dan mengira kepada murid, mengapa cikgu perlu ambil gaji?" tanay saya semula, dia kelihatan mengangguk-angguk sambil mengangkat keningnya.
Islam mengiktiraf hak dan usaha mereka untuk menerima bayaran, honorium dan sekiranya mereka sudah selesa dan tidak punyai banyak kewajiban kewangan di atas bahu mereka, mereka turut berhak untuk menulis percuma, berceramah secara percuma dan sebagainya.
Namun untuk menafikan keikhlasan seseorang ustaz dalam menulis dan berceramah hanya kerana mereka menerima sesuatu imbuhan dunia. Ia amat TIDAK WAJAR dan TIDAK BENAR, kita tidak akan mampu mengetahui bahawa kemungkinan dari hasil imbuhan itu, para ustaz mendermakan sebahagiannya kepada para pelajar miskin di Mesir, Jordan, Syria atau disedeqahkan ke rumah kebajikan, anak yatim, hospital, yayasan Islam, bantuan Palestin dan lain-lain, atau hasil dari honorium itu digunakan untuk membantu mana-mana keluarga faqir termasuk adik beradiknya yang susah. Atau digunakan wang horium itu untuk menampung kos pengangkutan untuk ceramah percuma di sekolah-sekolah dan masjid-masjid kampung. Adakah kita tahu semua pergerakan seseorang ustaz sehingga pasti mereka memang hanya gunakan untuk diri mereka? Jika tidak pasti, tutupilah mulut dari mencerca dan mengeji, tahanlah diri dari prasangka buruk.
AMBIL UPAH DAN TIDAK MANA LEBIH BAIK ?
"Tapi ustaz, walaupun harus ambil upah tetapi yang lebih baik, tentulah penceramah dan penulis ilmu agama yang tidak mengambil sebarang upah, betul tak ?" seorang pendengar ceramah saya cuba membuat kesimpulan.
"Tidak juga, suka untuk digenaralisasikan, kerana yang terbaik bergantung kepada niat, kepada apa yang dilakukan selepas itu, maksud saya, jika agamawan A tidak ambil apa-apa bayaran, then its ok, tetapi walaupun agamawan B, ambil bayaran tetapi bayaran itu dikumpul dan disalurkan kepada rumah kebajikan anak yatim kerana dia ada duit lebih sikit hasil honorium penulisan dan ceramahnya, nah sekarang agamawan mana yang lebih baik?" Soal saya semula
"Hai, susah la nak tentukan kalau macam tu, jika agamawan B bagitahu awal-awal kat kita, barulah kita tahu situasi dia tu lebih baik" balasnya
"Tidak boleh beritahu, kerana amalan kebajikan tertentu seperti sedeqah lebih elok didiamkan dan bukan dipukul canang, malah mungkin dia baru berniat tetapi belum menemui penerimanya " saya menjawab semula
"Kalau gitu susahlah nak tentukan siapa yang lebih baik" Katanya kali ni seolah putus idea.
"memang betul, bukan tugas kita untuk menentukan agamawan mana yang lebih baik, sama ada mereka menerima upah atau tidak, kedua-dua mereka melakukan perkara yang halal, kedua mereka turut mempunyai sebab dan tidak wajar untuk kita menjatuhkan kedudukan salah satu antara keduanya. Yang perlu, adalah kita berbaik sangka" saya menamatkan perbincangan dengan memberi kesimpulan.
Apapun, perbincangan tentang ambil upah atas kerjaya mengajar al-Quran, imam, bilal dan lain-lain bidang yang melibatkan ilmu fadhu ain dan dakwah, memang sudah dibincang panjang di kalangan ulama silam dan semasa. Kesimpulan mereka adalah harus khususnya di zaman ini.
JUMLAH YANG SESUAI
Jika halal dan harus untuk agamawan mengambil upah hatta menentukan upah atas usahanya, persoalan sekarang adalah berapakah jumlah yang wajar dituntut?
Di dalam Islam, persoalan harga adalah subjektif dan ia sering dikembalikan kepada uruf setempat. Boleh juga dikatakan sebagai ‘nilai pasaran’.
Justeru itu, dalam menentukan harga yang ingin ditentukan, menurut pandangan saya, bagi mengelak fitnah dan tuhmah terhadap ahli agama, hal berikut mestilah diteliti iaitu:-
1. Siapa yang menjemput
· Masjid atau surau : Tidak wajar letak harga, lebih bijaksana untuk membiarkan pihak masjid menentukannya. Ia kerana masjid bukan entiti perniagaan dan sumber kewangannya terhad. Biasanya masjid dan surau akan meletakkan honorium sebanyak RM40 -RM200 bagi satu ceramah.
· Syarikat swasta : masih tertakluk kepada bentuk program yang diminta, jika ia hanya sekadar kuliah zohor di surau bersifat bulanan, tidak wajar diletakan. Biasanya pihak surau syarikat akan menyediakan bujdet sebanyak RM100-RM200 bagi sekali kuliah bulanan. Namun jika ia adalah program khas untuk syarikat, tatkala itu penetapan harga adalah logik dan jumlahnya mestilah melihat kepada item-item lain di bawah.
· Badan Kebajikan : tidak awajar diletakkan harga
· Media massa : bergantung kepada bentuk program.
2. Topik
Topik yang diminta banyak bergantung kepada pihak yang menjemput. Kesimpulannya, jika sesebuah topik yang diminta untuk disampaikan itu berkaitan urusan perniagaan dan kewangan serta idea yang disampaikan bertujuan untuk dikomersialkan, ketika itu timbul kewajaran menetapkan harga.
Berat dan ringan topik juga boleh menjadi panduan untuk menilai kewajaran menentukan jumlah harga.
3. Tempoh
Kursus 3 hari tentunya memerlukan komitmen dan sebarang penentuan harga adalah wajar. Program satu ceramah sekitar dua tiga jam, perlu dinilai bersama topik dan penganjur bagi menentukan jumlah harganya.
4. Jarak
Jarak jauh dan dekat sewajarnya dijadikan panduan bagi menentukan harga yang sesuai.
5. Pengangkutan
Pengangkutan disediakan atau sendiri, memberi perbezaan yang ketara dalam kos seseorang penceramah.
6. Audien
Faktor audien juga memainkan peranan dalam penentuan harga yang wajar.
Kesemua enam perkara ini mesti diteliti secara bijaksana oleh seseorang agamawan sebelum beliau wajar untuk meletak harga atau tidak, dan juga panduan baginya menentukan harga jika perlu. Tanpa penilaian yang bijaksana, mereka akan terdedah kepada tohmahan dan cacian. Seperti apabila meletak harga sehingga RM10,000 kepada sebuah program badan kebajikan yang tidak bersifat komersial.
KESIMPULAN
Begitu ramai para agamawan hari ini ditipu oleh para peniaga dalam pelbagai bentuk. Mereka bijak menggunakan ‘malu seorang ustaz' untuk bertanya sebagai sumber keuntungan mereka. Padhala mereka lupa keuntungan yang diraih dengan cara ini adalah tergolong di dalam pendapatan haram lagi keji. Mungkin ada sebahagian agamawan yang meredhakan serta menghalalkannya, namun tidak sebahagian yang lain.
Saya simpati mendengar pengalaman beberapa ustaz tentang apa yang dihadapinya, dan tidak dinafikan saya juga ada mempunyai pengalaman sedemikian. Malah lebih menyedihkan, ada yang meminjam wang dari para ustaz, dan tidak memulangkan kembali wang tersebut walau telah berjanji. Sang ustaz pula yang merasa ‘segan' dan malu untuk menuntut hutang disebabkan status dirinya. Bermegahlah si peminjam kerana mendapat wang percuma dari sang ustaz, mereka lupa kebinasaan sedang menunggu bagi si penghutang yang sengaja tidak membayar hutangnya di barzakh.
Buat para agamawan, saya sarankan apabila ada sahaja pihak yang ingin memerlukan khidmat anda secara profesional, jangan lupa untuk menuntut kontrak. Ia amat penting bagi memastikan kejelasan, tiada gharar dalam urusniaga yang melibatakan kewangan khususnya.
Buat orang ramai, penerbit, penganjur, fikirlah semula apa telah anda lakukan kepada agamawan. Jauhilah menipu dan menyalagunakan status ‘ustaz' mereka. Tunaikanlah hak bagi yang berhak.
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
10 Julai 2009
[1] Tafsir Jalalain. t.t.. Dar al - Hadist, Kairo. Jilid 1, hlm. 241.
[2] Tafsir al - Qurtubi, 1372 H. Dar asy - Sya'bi, Kairo. Jilid 8, hlm. 80 dan Juz I, hlm. 334 - 335.
[3] Tafsir ath - Tabari. 1405 H. Dar al Fikr, Beirut. Jilid 10, hlm. 86 dan Jilid I, hlm. 253.
[4] Tafsir Ibnu Katsir. 1401 H. Dar al Fikr, Beirut. Jilid IV, hlm. 341 dan Jilid I, hlm. 107 - 108.
[5] Az-riyadah fil hurub wa futuhat abi bakar as-siddiq, Dr Md Dahir Witr, hlm 181
[6] Walaupun demikian, di ketika Khalifah Abu Bakar hampir meninggal dunia, beliau mewasiatkan agar semua asset dan hartanya yang diperolehi dari gajinya dijual dan hasilnya di berikan kep Baitul Mal. Ini menunjukkan keinginannya menerima kebaikan amal jariah berterusan di akhirat. Ini juga menunjukkan semua gaji itu adalah miliknya dan diterima secara halal, kerana itu ia boleh diwasiatkan dan didermakan.
Assalammualaikum Ustaz
ReplyDeleteIkhlas itu BUKAN bermakna melakukan sesuatu dengan PERCUMA. Dan setiap yang dilakukan dengan percuma tidak bermakna Ikhlas.
Jiwa Positif Hidup BerTuhan
Fuad Latip
http://www.fuadlatip.com
Saya setuju tentang tafsir menjual agama itu sebab sudah terdapat kejadian seorang Muf...i bila bukan kelompok dia yg buat sesuatu cepatx keluar fatwa tanpa menyiasat terlebih dahulu kebenaran dan cerita sebenar tetapi bila kelompok dia buat dia siasat dahulu baru keluarkan fatwa kadangx membisu tanpa suara.
ReplyDeleteapabila jurunikah yg tak ada elaun khas menetapkan saguhati yg taklah seberapa, riuh satu bandar....
ReplyDeletetapi tiada siapa yg pertikaikan sewa pelamin yg kian hari kian melambung...
walhal, kalau tiada jurunikah itu, manakah bermakna lagi pelamin itu......
pada saya yang masih cetek ilmu ni... "kalau setakat letak harga untuk menampung kos-kos yang terlibat dalam urusan itu, takpelah.. mmg itu patut pun, macam atok-atok, pakcik2 yang ajar ngaji dulu2, minta upah untuk minyak gas nak hidupkan lampu pelita..." tapi kalau minta lebih2, berganda-ganda, iskh... biar Tuhan je yang tentukan... Kalau kita cakap dosa, salah, bla3... kita da mcm secretary tuhan pulak tak? siapa kita?
ReplyDeletesaya mohon maaf sekiranya pandangan saya ni menyinggung mana-mana pihak, ini hanya pandangan peribadi saya.
Pardon my idiocy Ustaz, but does surrogacy allowed in Islam? It's becoming a trend in India now in which the surrogates charge Rs25k-Rs50k for the process and regular upkeep. Bolehkah doktor2 menyokong konsep ibu tumpang untuk tingkatkan fertility rate bagi wanita yang tiada rahim disebabkan kemalangan&barah yang semakin meningkat kesnya? Harap ustaz dapat huraikan.
ReplyDeleteAssalamualikum...sy mohon utk share ye ustaz.
ReplyDeletebetul...mana boleh jual agama...semua cikgu-cikgu seramai 300,000 orang perlu mengembalikan gaji dan elaun semenjak hari pertama posting kepada perbendaharaan.lepas tu jual kangkung dan ikan bilis nak sara diri.
ReplyDelete