Wednesday 10 November 2010

Siapa Ditipu & Ustaz Mata Duitan ?


mataduitan.jpg
Ada rakan-rakan ustaz memberitahu saya bahawa mereka agak tertekan dan sering ditipu oleh pelbagai pihak termasuk rakan yang dikenalinya.
Kes para agamawan ditipu jarang didedahkan, namun tidak dinafikan banyak juga kes ‘ustaz' menipu. Namun fokus tulisan ini adalah kes agamawan yang menjadi mangsa dan terperangkap di dalam dilema akibat status dirinya sebagai agamawan atau ‘ustaz' sehingga akhirnya memaksa dirinya untuk ‘terpaksa redha' diri dizalimi.
Terlalu banyak bentuk penipuan yang dicipta oleh manusia, cuma bentuk-bentuk penipuan tertentu sahaja yang akan menjadi fokus di dalam tulisan saya kali ini.
"Ustaz, boleh tak ustaz jadi penasihat kepada produk kami?" Tanya seorang pemilik syarikat kepada seorang ustaz terkenal bertitle Dato'.
"Produk apa ni?" Tanya ustaz tersebut.
Setelah diterangkan jenis dan semua yang berkaitan produk, rupa-rupanya ia adalah satu skim MLM. Sang ustaz mula membuat muka kurang selesa dan kurang minat.
"Tak apa ustaz, ustaz tak perlu buat apa-apa pun, saya akan mudahkan urusan ustaz, saya akan masukkan ustaz di bawah downline dan ustaz tidak perlu bayar apa-apa pun, saya akan bayarkan dan kemudian saya akan usahakan untuk penuhkan downline ustaz, ustaz hanya perlu tunggu duit sampai sahaja setiap bulan" Ulasnya dengan penuh semangat.