Thursday 16 December 2010

Kerjaya GRO, Paksa Henti, Hukum & Dr Fadzilah Kamsah


gro
SOALAN
Ustaz, baru-baru ini ada seorang pemberi motivasi yang tersohor di tanahair memberitahu boleh seorang GRO yang telah mengandungkan anak luar nikah, untuk meneruskan kerjayanya sehinggalah disediakan alternative dan agar dia bosan dengan tugasannya. Lalu mula mencari kerja lain. Kita juga tidak dibenarkan menghina golongan terbabit. Minta sangat ustaz mengulas kerana kenyataan itu agak mengelirukan. Dan perlukah kita merujuk beliau lagi selepas ini?. Terima kasih

JAWAPAN
Sebelum saya menulis jawapan ini saya sudah pun membaca kenyataan tokoh motivasi tersebut di akhbar yang menyiarkannya. Kenyataan awal beliau pada 11 Disember 2010 dan juga kenyataan balasannya pada 15 Disember 2010.
Secara ringkasnya, saya ada bersetuju dengan beliau dan ada juga yang tidak bersetuju dengan beberapa fakta dalam kenyataannya. Apapun, ingin saya tegaskan, saya menghormati beliau selaku tokoh besar di dalam Negara, pakar dalam bidang motivasi individu dan rumahtangga, yang telah banyak menyumbang kepada pemulihan diri individu masyarakat melalui pelbagai medium.
Namun begitu, kesilapan dan kekeliruan mungkin sahaja berlaku kepada sesiapa jua. Kesilapan dan kekeliruan ini ada kalanya amat kecil berbanding kebaikan yang telah dilaksana dan diusahakan sejak bertahun lamanya. Oleh itu, JIKA BENAR SEKALIPUN ADA KESILAPAN DALAM ULASANNYA, JANGAN SEKALI dilupakan segala sumbangan beliau.
Pun begitu, disebabkan imej dan tersohornya itu, saya merasa tanggungjawab untuk menjelaskan respon kepada soalan yang diajukan kepada saya, agar tidak berlaku salahfaham di kalangan masyarakat ramai.
SETUJU
Saya bersetuju bahawa mesti ada pihak berwajib mengambil tanggungjawab untuk menyediakan alternatif bagi wanita seperti ini.
Saya juga bersetuju kita TIDAK BOLEH terus menghina petugas seperti itu seolah mereka tiada lagi peluang untuk pulang ke pangkal jalan. Khususnya penghinaan tanpa usul periksa , kerana bagi saya, mungkin ada yang terjebak kerana terperangkap dalam sindiket pelacuran dan GRO. Mereka menjadi mangsa dan bukan sengaja menurut kehendak dirinya.
TIDAK SETUJU
Namun saya tidak bersetuju untuk tidak mengutuk pekerja-pekerja yang rela dan dengan sendirinya memilih kerjaya terbabit. Kutukan dan kecaman perlu dibuat terhadap KERJAYA kotor itu dan bukannya tertumpu sangat kepada individu, ini perlu dilakukan oleh satu pihak agar kesedaran dan kehinaan dosa itu dapat dibangkitkan.
Dalam masa yang sama, ada pula pihak pendakwah lain yang mencuba teknik berbeza iaitu dengan kaedah lembut dan memujuk. Namun untuk menyalahkan teknik kutukan secara umum adalah kurang tepat dari sudut ilmu dakwah.
Saya juga tidak bersetuju dengan kenyataan beliau yang menyatakan:
“Jangan memaksa dia (Suzie) terus berhenti daripada pekerjaannya sebagai pelayan pelanggan (GRO), sebaliknya beri masa untuk dia berubah”
Dalam hal ini, saya andaikan kemungkinan kenyataan beliau lahir dari kekeliruan tugasan motivator yang sentiasa inginkan clientnya bersikap positif, namun tugas pendakwah pula, perlu memaklumkan kepada ‘client’dengan jelas kesalahan sebagai kesalahan hukum yang mesti dihentikan serta merta.
Justeru, di sini saya ingin tegaskan hukum kerjaya GRO adalah tetap haram, Alhamdulillah hal ini juga diakui oleh motivator terbabit dalam kenyataan yang disiarkan di dalam harian metro bertarikh 15 Disember 2010.
APA ITU GRO DAN BIDANG KERJANYA?
Kita sedar teknik dakwah adalah satu hal yang perlu diambil perhatian, kerjaya GRO atau Guest Relation Officer (GRO) mempunyai banyak takrifan dan bidang tugasan. Setelah melakukan beberapa semakan, kedapatan ada GRO yang mempunyai tugasan tertulis yang neutral dan benar-benar bersifat pentadbiran, Namun begitu, tugasan yang tidak tertulis itulah yang merumitkan, dimana ia kerap melewati tugasan tertulis kepada tugasan lain yang tidak sihat sama sekali. Iaitu melayan kehendak pelnaggan walau hingga di dalam bilik. Tema utama tugasan adalah ‘melayan pelanggan sehingga target bisnes tercapai’.
Susasana di Malaysia perlu dirujuk sebelum komentar lanjut dikongsikan. Jika dilihat dari laporan-laporan akhbar yang boleh membentuk perspesi rakyat dan majority, kerjaya GRO digambarkan dan digunakan secara kerap kepada ‘kerjaya pelacur’ , sebagai contoh lihat sahaja petikan akhbar-akhbar ini dan ini. Tangkapan pelayan-pelayan ini ditanggap oleh awam sebagai ‘pelacur’ dan GRO adalah gelaran lembutnya.
Selain itu, saya juga tidak bersetuju dengan kenyataan beliau ( jika tiada salah catatan pihak wartawan) berikut :-
a. “Suzie boleh meneruskan pekerjaannya sebagai GRO, tetapi dalam masa sama dia hendaklah tidak reda melakukan kerja itu hingga mendatangkan kebosanan dan tidak seronok untuk bekerja lagi.”
Ulasan saya : Suzie TIDAK BOLEH meneruskannya, tidak reda dalam pelakuan maksiat yang direlai tanpa paksaan ke atas nyawa dan harta adalah tidak diterima di dalam Islam.
Malah tidak reda itu menghancurkan objektif (maqasid al-shariah) yang lebih tinggi iaitu kerana kerjaya itu bakal menghancur agama si pelaku, menyebabkan maruah dan kehormatannya hilang, menyebabkan tali keturunannya rosak, dan hartanya tidak diberkati.
b. “Dengan cara itu, dia boleh berubah sedikit demi sedikit, kemudian mencari pekerjaan halal yang lain, sebaik mendapat pekerjaan lain, dia perlu berhenti terus melakukan kerja lamanya itu.”
Ulasan saya : Ada perkara yang dibenarkan untuk berubah sedikit demi sedikit, selaras dengan ilmu. Namun kerjaya seperti ini tidak boleh digolongkan dalam perkara yang dibenarkan untuk beransur kerana pilihan lain adalah banyak, Cuma mungkin kurang pendapatan berbanding yang di hadapannya. Justeru, jangan silapfahami konsep tadarruj (beransur) yang diajar oleh Islam dan salah aplikasi.
c. “Suzie perlu menganggap kerja dilakukannya itu kerana sedang berada dalam keadaan darurat dan perlu cepat-cepat menukar pekerjaan.”
Ulasan  saya : Jangan sewenangnya menggelar keadaan itu dharurat. Perlu diingat kaedah fiqhi yang menyebut, apa yang diharuskan kerana “dharurat mesti diikat dengan limitasinya”. Sejauh mana limitasi telah dipantau dan dipatuhi.? Dharurat juga perlu menilai timbangan kerosakan dan kebaikan yang terhasil, jika kerosakan lebih banyak, ia adalah maslahat yang tertolak.
TAMBAHAN FAKTA YANG MESTI DIFAHAMI
Hasil dari itu, saya ingin menegaskan secara umum bahawa :-
1.                   Yang haram mesti disebut haram dan seorang pendakwah mesti memaklumkan gesaan berhenti serta merta dan bukan memberi masa. Khususnya apabila kenyataan di buat secara awam di media massa yang boleh mengelirukan pembaca yang kurang ilmu agamanya.
Imam Al-Ghazzali mendefinisikan taubat sebagai :
ترك المعاصي في الحال، والعزم على تركها في الاستقبال، وتدارك ما سبق من التقصير في سابق الأحوال 
Ertinya : Meninggalkan maksiat dengan serta merta, dan berazam kukuh untuk meninggalkannya di masa hadapan, dan berusaha menebus dosa-dosa yang lalu. ( Ihya ‘Ulumiddin, 4/5)

2.                   Kerjaya haram GRO juga boleh mengakibatkan hilangnya keberkatan dalam kehidupannya itu hanya menjauhkannya dari kesedaran dan bukan memberi harapan dan ruang untuk dia meneruskannya. Justeru tidak timbul cadangan ‘biarkan sehingga dia merasa bosan dan sedar’, atau memberinya masa untuk terus bergelumang dengan dosa.
Nabi s.a.w bersabda :
إن المؤمن إذا أذنب ذنباً كانت نكتة سوداءُ في قلبه ، فإذا تاب ، ونزع ، واستغفر صقل قلبه منها ، وإذا زاد زادت حتى يغلف قلبه ، فذلك الران الذي ذكره الله في كتابه ( كلا بل ران على قلوبهم ما كانوا يكسبون ) المطففين 14
Ertinya : Sesungguhnya seorang mukmin itu, adalah apabila dia melakukan dosa, maka wujudlah satu titik hitam di hatinya, maka apabila dia taubat, hilanglah titik hitam itu dan licinlah hatinya semula, namun apabila ditambah dosanya, semakin tertutuplah hatinya, maka itulah karat yang disebut oleh Allah di dalam KitabNya  ( Riwayat At-Tirmidzi, Ahmad, Ibn Hibban & Al-Hakim; Hasan menurut Tirmidzi, Sohih menurut Ib Hibban; Al-Hakim menilai sohih dan dipersetujui Az-Zahabi atas syarat Muslim )
3.                   Nabi mengajar umatnya agar jangan bertangguh dalam mengerjakan hal yang baik, khususnya taubat. Dalam hal ini kita sewajarnya menyeru suzie untuk segera bertaubat dan bukan memberinya masa seolah kerjayanya itu boleh diterima dengan hujjah inginkan perubahan dengan kesedaran dan bukan dipaksa.
Fakta sebenar di dalam ilmu Islam, perkara haram dilarang kerana ia memudaratkan diri dan orang lain, ia mesti dihenti serta merta tanpa tangguh. Sebagai pemberi motivasi dan pendakwah, kita tidak boleh sama sekali kita berlagak kononnya ingin memahami kesukaran petugas GRO, menjaga hatinya lalu sewenangnya ‘memberi tangguh’ sedang Allah dan RasulNya tidak memberi tangguh dalam hal maksiat.
Allah swt berfirman :-
إنَّمَا التَّوْبَةُ عَلَى اللّهِ لِلَّذِينَ يَعْمَلُونَ السُّوَءَ بِجَهَالَةٍ ثُمَّ يَتُوبُونَ مِن قَرِيبٍ فَأُوْلَـئِكَ يَتُوبُ اللّهُ عَلَيْهِمْ وَكَانَ اللّهُ عَلِيماً حَكِيماً
Ertinya : Sesungguhnya taubat di sisi Allah hanyalah taubat bagi orang-orang yang mengerjakan kejahatan lantaran kejahilan, yang kemudian mereka bertaubat dengan segera, maka mereka itulah yang diterima Allah taubatnya; dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana ( An-Nisa : 17)

Imam Al-Ghazzali berkata :-
أما وجوبها على الفور فلا يُسْتًرَابُ فيه ؛ إذ معرفة كون المعاصي مهلكاتٍ من نفس الإيمان
Ertinya :   Wajibnya taubat itu adalah dengan segera tanpa sebarang keraguan dan tangguh, kerana sifat maksiat itu pemusnah iman seseorang  ( Ihya ‘Ulumiddin, 4/7)
Imam Ibn Qayyim pula mengulas:
المبادرة إلى التوبة من الذنب فرض على الفور ، ولا يجوز تأخيرها ، فمتى أخرها عصى بالتأخير فإذا تاب من الذنب بقي عليه توبة أخرى
Ertinya : Bersegera bertaubat dari dosa adalah fardhu yang mesti dikerjakan dengan SEGERA, dan TIDAK HARUS dilewatkan, barangsiapa melewatkannya dia telah melakukan satu lagi kedurhakaankerana itu, jika kemudian dia bertaubat dari dosa itu, dia perlu tuabat pula kerana dosa melewatkan taubat awal tadi. (Madarij al-Salikin, 1/283 )
Namun, jika setelah kita memberi nasihat, lalu pelaku maksiat dengan sendirinya ingin mengambil masa sebelum berubah, itu adalah isu lain, namun KITA TIDAK BOLEH memperuntukan tempoh tangguh tersebut.
4.                   Tiada diterima alasan bahawa dia tidak mampu membuat kerja lain atau kita belum menyediakan tugasan alternative untuknya.
Pertama: kerana selaku manusia yang sihat, dia sepatutnya bijak DAN BERTANGGUNGJAWAB PENUH menggunakan seluruh anggotanya yang cukup untuk belajar sesuatu yang berfaedah dan menggunakan skill tersebut untuk memperolehi pendapatan halal, bukan menjual tubuhnya untuk nafsu serakah manusia.
Kedua ; kewujudan tugasan alternatif bukan syarat untuk berhenti dari melakukan dosa terbabit, kerana alternatif sebenarnya WAJIB DIFIKIRKAN OLEH SI PELAKU itu sendiri jika dia masih beragama Islam. Tanggungjawab menyediakan alternatif seterusnya jatuh pada ketua agama di sesebuah Negara. Pada hukum asalnya, itu bukan dibebani oleh pendakwah dan pemberi nasihat. Ketiadaannya jangan sekali menyekat pendakwah dari memberi nasihat dan teguran tepat walau pedas dan berbisa. Lihat sahaja Nabi Musa dan Harun menegur Firaun dengan terang dan jelas. Cuma nadanya sahaja yang lembut dan tenang serta petah, iaitu bukan dengan maki hamun.
Imam Al-Ghazzali menyifatkan orang yang melakukan dosa TANPA TAUBAT dan BERHENTI tapi INGIN rahmat Allah dan DIMUDAHKAN kepada pendapatan, kehidupan yang bersih dan halal adalah seperti :
وهو كمن ينفق جميع أمواله، ويترك نفسه وعياله فقراء، منتظراً من فضل الله تعالى أن يرزقه العثور على كنز في أرض خربة 
Ertinya : Orang sedemikian adalah seperti seorang yang membelanjakan semua hartanya, dan meninggalkan diri dan keluarganya dalam keadaan faqir, namun sentiasa menunggu kurniaan dari Allah untuk memberinya rezeki, menemui harta yang tersimpan di dataran yang kontang” ( Ihya Ulumiddin, 4/58)
Beliau mengulas lagi selepas itu dengan berkata , penantian itu memang boleh dilakukan tetapi ia adalah suatu tahap kebodohan dan kejahilan yang tinggi ( Ihya Ulumiddin, 4/58)
KESIMPULAN
Ingatlah, jika sekiranya si pekerja GRO terus dalam pekerjaan kotornya atau mana-mana petugas dalam industri haram dan kelihatan mampu menyara hidup dengan baik hasil duit kotor itu, malah kelihatan lebih mewah dan ‘berjaya ‘dari  mereka yang berpendapatan halal, ia secocok dengan kata Nabi s.a.w :-
إذا رأيت الله يعطي العبد من الدنيا على معاصيه ما يحب فإنما هو استدراج ثم تلا: (فلما نسوا ما ذكروا به فتحنا عليهم أبواب كل شيء حتى إذا فرحوا بما أوتوا أخذناهم بغتة فإذا هم مبلسون)
Ertinya : Apabila kamu lihat Allah memberi limphaan kurnia di dunia kepada hamabnya sedang segala maksiat disukainya (dan diperbuat), ketahuilah sesungguhnya itu istidraj iaitu kurniaan kepada penjahat untuk menghumbannya terus ke neraka tanpa peluang kembali ke pangkal jalan, kemudian Nabi membaca firman Allah : “ Dan tatkala mereka melupakan apa yang diperingatkan kepada mereka, kami sengaja memberi kurniaan dunia dari pintu yang pelbagai, sehingga apabila mereka bergembira dengan yang diperolehi, kami akan RAMPAS DARINYA SECARA TIBA-TIBA, ketika itulah mereka berputus asa. Al-An’Am ayat 44. (Riwayat Ahmad & At-Tabrani : perawinya thiqat )
Oleh itu, kita dibenarkan paksa dia berhenti dari GRO melalui nasihat, dan jangan membuka jalan dan gambaran ada ruang keharusan untuk dia terus bekerja di situ.
Namun hulurkan bantuan dan kasih sayang memang diperlukan, antara tanda kasih sayang itu adalah dengan menasihatkannya agar terus berhenti dan pihak berwajib perlu menyediakan alternatif dengan segera.
Sekian

Zaharuddin Abd Rahman
16 Disember 2010
10 Muharram 1432 H
 ___________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________
15 Disember 2010
KUALA LUMPUR: “Pekerjaan sebagai pelayan pelanggan (GRO) adalah salah, haram tetap haram,” kata pakar motivasi terkenal, Datuk Dr Fadzilah Kamsah, (gambar) ketika mengulas kenyataannya dalam Harian Metro terbitan Sabtu lalu.
Menurutnya, masyarakat diminta tidak salah faham dengan kenyataan beliau yang disiarkan akhbar ini terdahulu, seolah-olah beliau mengatakan pekerjaan Suzie sebagai GRO adalah tidak salah.

“Pekerjaan GRO itu memang haram dan tidak boleh dilakukan oleh kita sebagai umat Islam. Maksud saya di sini ialah, jangan hanya tahu memaksa Suzie berhenti, tetapi apa peranan kita (pembaca) untuk mencarikan pekerjaan lain kepadanya. “Jangan terus menghina dan mencaci wanita yang bekerja sebagai GRO sebaiknya kita mencari alternatif untuk membantu wanita seperti itu mendapatkan pekerjaan lain,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Menurutnya, masyarakat perlu membantu golongan seperti itu keluar daripada kepompong dosa dengan membantu mereka mencarikan kerja yang berkat.

Masyarakat tidak seharusnya tahu menghukum tetapi dalam masa yang sama perlu mencari alternatif terbaik untuk membantu.

“Jangan menghina GRO. Mereka yang sudah menyesal dan sempat bertaubat kita cuba bantu mereka. Tidak baik menghina dan mencaci mereka. Jangan terus menghukum tetapi hulurkan tangan memberi bantuan dan kasih sayang,” katanya.
Terdahulu, beliau menasihati pembaca sama ada yang bersimpati atau yang membenci Suzie supaya bersama-sama menadah tangan mendoakan dia berubah dan kembali ke jalan diredai.
11 Disember 2010
KUALA LUMPUR: “Jangan memaksa dia (Suzie) terus berhenti daripada pekerjaannya sebagai pelayan pelanggan (GRO), sebaliknya beri masa untuk dia berubah,” kata pakar motivasi terkenal, Datuk Dr Fadzilah Kamsah (gambar) ketika mengulas laporan mengenai seorang GRO yang kini sarat mengandung ingin kembali ke pekerjaan asal sebaik bersalin kerana mendakwa hanya itu pekerjaan mampu dilakukan bagi menyara anaknya itu.
Beliau berkata, dalam kes seperti ini, paksaan untuk berubah bukanlah jalan penyelesaian terbaik untuk membantu wanita itu. “Suzie boleh meneruskan pekerjaannya sebagai GRO, tetapi dalam masa sama dia hendaklah tidak reda melakukan kerja itu hingga mendatangkan kebosanan dan tidak seronok untuk bekerja lagi.

“Dengan cara itu, dia boleh berubah sedikit demi sedikit, kemudian mencari pekerjaan halal yang lain, sebaik mendapat pekerjaan lain, dia perlu berhenti terus melakukan kerja lamanya itu. “Suzie perlu menganggap kerja dilakukannya itu kerana sedang berada dalam keadaan darurat dan perlu cepat-cepat menukar pekerjaan. “Sebaliknya, pihak yang membantu pula perlu memberi bimbingan. Sebagai contoh nasihat yang baik dan mengingatkan dirinya mengenai setiap yang hidup pasti akan mati supaya dia tidak terus melakukan dosa,” katanya.
Menurutnya, wanita itu memerlukan kumpulan penyokong yang kuat yang akan terus memberi semangat untuk dia berubah seperti rakan, jiran dan kewaja sendiri.

“Siapa kita untuk menghukum kesilapan dilakukan Suzie. Jika dia bertaubat nasuha, dosanya semua akan kosong dan dia akan jadi seperti bayi yang baru lahir. Itu janji Tuhan kepada kita.

“Oleh itu, masyarakat tidak boleh menuding jari kepadanya, sebaliknya sama-sama memberi dorongan untuk berubah,” katanya.
Beliau turut menasihati pembaca sama ada yang bersimpati atau yang membenci Suzie mendoakan dia berubah dan kembali ke jalan diredai.

“Saya percaya wanita ini mempunyai masalah dalaman yang agak sukar diungkapkan kerana berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul, masyarakat sekeliling harus membantunya keluar dari pekerjaannya ini dengan memberi sokongan dan dekati diri mereka sebagai rakan akrabnya,” katanya.

33 comments:

  1. matlamat tak menghalalkan cara :(

    ReplyDelete
  2. "berikan masa untuk berubah"..kalo mati tiba2 xsempat nk berubah mcm mane?

    ReplyDelete
  3. Masalahnya satu: mereka tak tahu mana nak mencari. Dikelilingi oleh orang yang otaknya bermasalah (you know what I mean), dan tidak pernah-pernah diberi didikan agama semasa dewasa menyebabkan mereka menganggap Tuhan itu tiada, ataupun tidak membantu mereka ataupun tidak kisah langsung tentang hal-hal spiritual.

    Orang yang dipertanggungjawabkan oleh ketua Agama kita iaitu Yang Dipertuan Agong pula hanya berminat untuk melakukan sesuatu yang mendapat pancing undi, membunuh segala musuh politik dan kurang sekali menyediakan alternatif kepada orang yang sudah terjebak cara untuk kembali ke pangkal jalan. Sekurang-kurangnya saya tak nampak langsung sebarang cara oleh pihak kerajaan ataupun pihak pembangkan yang betul-betul boleh membantu orang yang sudah terpesong ke arah yang benar.

    Saya amat berharap seseorang akan menyediakan alternatif yang baik kepada mereka yang sudah mempunyai kesedaran untuk berubah arah daripada negatif kepada positif...

    ReplyDelete
  4. nak berubah secara drastik bknnya mudah. manusia bknnya paku, diketuk terus bergerak.. dan artikel ni ditujukan kepada suzie, supaya beliau kembali insaf dan sedar betapa Allah sayangkan beliau, orang kebanyakan seharusnya ambil iktibar daripada kejadian yang telah berlaku dan membuat tindakan susulan supaya masyarakat menjadi lebih membenci pekerjaan yang ditegah didalam Islam. Bukannya mengulas si pemberi pandangan. Sebab orang yang memberi pandangan tidak melakukan, cuma memberi pendapat. Kenyataan yang salah diperbetulkan, bukan diulas..

    ReplyDelete
  5. saya bersetuju dengan Keith....tak tahulah macam mana pemimpin2 kita ni nnti kat padang mahsyar ...nabi...sahabat2 nabi yg menjadi khalifah.....setiap hari menangis ketakutan diatas kepemimpinan yg di pegang..........hmmm......dan tak lupa....kita juga sebagai orang islam pun bertanggungjawab sama...

    ReplyDelete
  6. semoga kita semua tahan di uji, insya ALLAH.
    yang haram sudah jelas haram. nauzubillah...

    ReplyDelete
  7. Oh maaf, mebaru perasan sesuatu mengenai komen saya. ketua agama kita ialah Yang Dipertuan Agong, tapi yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskan negara ini ialah ahli politik yang tak habis-habis gaduh. Patutlah ahli politik Singapura dan Australia cakap ahli politik kita incompetent...

    harap maaf.

    ReplyDelete
  8. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  9. Salam Ustaz...
    Terima kasih atas penjelasan yg cukup jelas ini. Tahniah kerana bertindak pantas memberi penjelasan ini untuk mengelakkan lebih ramai orang awam terkeliru. Harap semua pihak tak kira di lapangan mana kita berada agar lebih berhati-hati dalam mengeluarkan pendapat dan nasihat. Jika kurang berilmu, rujuklah terlebih dahulu kpd yg lebih berilmu krn bimbang sekiranya pendapat kita tidak berasaskan ilmu bakal memesongkan dan mengelirukan org ramai. Sememangnya ada perbezaan antara motivator dan pendakwah...

    ReplyDelete
  10. salam semua..

    mudah sahaja. Sebenarnya setiap hal yg berkaitan dengan hukum hakam serahkan kpd mrk yg ahli. jgn brcakap mngikut rasa dan fikrn. Agama tidak datg atas jln akal dan rasa, ttp amrun ta'abudiyyah.. (urusan kehambaan)

    Kesilapn trjadi pd semua, hatta pd ustaz Zaharuddin skalipun..

    jgn teruskn sikap boikot atas 1 kesilapn dan melupakn sejuta jasa bakti.

    Harini semua suka UZAR, esok ramai yg terus boikot dan benci dan canang mmerata2 1 kesilapan krn sikap yg amat buruk itu..

    :)

    ReplyDelete
  11. Yang sya perhatikan sudah beberapa lama, pakar motivasi ini sudah banyak bercakap seolah2 beliau seorang ahli/pakar dalam bidang ugama.
    Antaranya nasihat beliau supaya baca ayat tertentu untuk sesuatu masalah atau penyakit. Lebih berat lagi kononnya mengikut kajian beliau orang yg lahir bulan sekian berperibadi sekian & banyak lagi yg karut-marut.
    Hairan saya tak ade sesiapa pun yg menegur beliau; mungkin kerana terlalu tersohor.
    Adakah dgn sebab banyak jasa, Islam membenarkn sesaorang bolih halalkan yg haram atau mengeluarkan kata2 yg menghampiri syirik atau syirik???
    Beliau sepatutnya buat kerja motivasi sahaja; itu kepakarannya. cukup. full stop.

    ReplyDelete
    Replies
    1. This comment has been removed by the author.

      Delete
  12. UZAR tidak memboikot sesiapa tetapi membetulkan ulasan dan pandangan yang agak tersasar. UZAR telah mejalankan tangungjawabnya sebagai pendakwah atau lebih tepat sebagai hamba Allah yang terpanggil untuk melaksanakan amal ma'aruf nahi mungkar. Saya tak nampak di mana kesilapan UZAR dalam tegurannya. Yang jelas beliau begitu berhati2 menyusun kata dan komennya begitu berhemah. Mengapa harus terasa?

    ReplyDelete
  13. Terima Kasih UZAR kerana memberi ulasan dan teguran yang berhemah....

    ReplyDelete
  14. ummiraihan, saya bersetuju dengan anda.

    ReplyDelete
  15. saya setuju dgn pandangan dan cara UZAR menyampaikannya, cukup berhati2 agar tidak salah faham.

    saya juga hormat dgn Dr Fadzillah atas kepakarannya. saya yakin berkenaan meneka peribadi berdasarkan tarikh lahir itu bukan dibuat beliau tetapi disebarkan di internet oleh org2 tertentu dgn menggunakan nama beliau..

    ReplyDelete
  16. salam,apapun rujuk semula Quran, hadis,ijmak dan Qiyas..InsyaAllah selamat dunia akhirat..

    ReplyDelete
  17. macam mana dengan hukum BERTUDUNG pula ustaz?..tak pakai berdosa boleh ke perkataan tunggu seru itu menghalalkan cara?

    ReplyDelete
  18. baguslah tu..sama2 saling ingat mengingati

    ReplyDelete
  19. Maaf Ust, Ust tsalah type ayat al-Qur'an. Izinkan saya maklumkan pada pembaca²;
    (Yg Betulnya)
    كلا بل ران على قلوبهم ما كانوا يكسبون
    (Yg Ust tSilap tulis)
    كلابل وان على قلوبهم ما كانوا يكسبون

    2 tempat: كلا بل (kena jarakkan) ...... ران dan bukannya وان

    Ye.. N.A.S : ust dah komen pasal tudung.. http://www.zaharuddin.net/senarai-lengkap-artikel/3/898-tak-mahu-hipokrit-akhirnya-bertambah-dosa.html

    ReplyDelete
  20. Tegur menegur adalah sesuatu yg di tuntut. Kita tegur jika ada org lain buat kesalahan dengan cara terbaik dan terima pula teguran jika berbuat kesilapan. Tidak ada manusia yang terlepas dari berbuat kesilapan tetapi sebaik2 manusia ialah apabila ia berbuat dosa dia terus bertaubat meminta ampun dariNya.

    ReplyDelete
  21. Assalamualaikum wbrkth..

    1)Nobody is perfect
    2)Classic Economy Theory - Where is demand, there is supply
    3)Back to basic (Islam Root n Route)

    Terima kasih.

    ReplyDelete
  22. sykr0n ust...hjah y mntp...sme2 ambil iktbr driny=)

    ReplyDelete
  23. taubat itu akan datang dari sudut hati paling dalam. bila kita betul jujur mohonlah padaNYA. dengan segala kebesaranNYA, DIA akan bagi yang terbaik untuk kita insyaALLAH...pada cara dan apa pun.

    ReplyDelete
  24. Saya teringat kisah seorang badwi yang kencing di dalam masjid Rasulullah saw. Para sahabat ingin memukulnya tapi dihalang oleh Rasulullah saw. kerana memberi peluang dia selesaikan hajatnya. Pada saya hikmah sangat penting dalam dakwah iaitu menyeimbangkan antara method dan hukum. Hukum agama tetap jelas dan wajib diterima namun dalam melaksanakan hukum perlu kepada hikmah dan kebijaksanaan. Wallahu a'lam..

    ReplyDelete
  25. al-hamdulillah...terima kasih ustaz kerana telah menjelaskan tentang masalah ini yang menjadi kekeliruan orang ramai. walaupun pada zahirnya nampak elok dan betul pada pandangan manusia, namun hukum Allah tetap perlu didahulukan...

    ReplyDelete
  26. Kepada mereka yang kini menjadi GRO dalam erti kata ‘GRO yang terlibat dengan maksiat’, berhentilah dengan segera kerana masih banyak lagi alternatif bagi anda.

    Bidang-bidang alternatif yang saya fikir sesuai bagi bekas GRO, yakni yang sesuai dengan set kemahiran yang dimiliki adalah seperti yang berikut:

    1. Bidang jualan dan pemasaran, termasuklah mungkin sebagai ejen takaful (sekadar mencadangkan takaful kerana ia adalah sektor yang mampu mendekatkan bekas GRO kepada Islam secara tidak langsung)

    2. Bidang perhubungan awam – Perhubungan awam yang saya maksudkan bukanlah perhubungan awam yang kadangkala menerima tempias tanggapan negatif yang muncul ekoran ‘kerja-kerja tambahan’ dalam bidang tugas GRO/PRO. Perhubungan awam yang saya maksudkan adalah perhubungan awam yang lebih kepada perhubungan antara organisasi dengan dunia luar dan juga media.

    3. Bidang penjenamaan atau branding.

    4. Dan sebagainya.

    Moga perkongsian ini mendatangkan manfaat kepada rakan-rakan dan terutamanya GRO.

    Ashadi Zain
    (ashadizain@gmail.com)
    http://artikelashadizain.blogspot.com/

    ReplyDelete
  27. Semuanya kerana wang, pendek kata. Saya yakin, wanita ini juga tidak suka akan kerjanya. Jujur katakan, mana ada wanita boleh tahan melayan kehendak seksual ratusan orang seminggu? Apatah lagi dengan lelaki yang macam ragam dan macam penyakit?

    hakikatnya wanita ini juga mahukan kerja yang lebih mudah, lebih mendatangkan wang, dan halal. :)

    sesiapa yang kenal orang sebegini, bawalah mereka ke pangkal jalan. tak ada kerja yang susah di dunia ini. tak mahu jadi pelayan pelanggan, pelayan restoran biasa cukup bukan?

    ReplyDelete
  28. ustat,

    byk perkara yg haram telah dihalalkan di Malaysia.. tggu je lah bala ...

    ReplyDelete
  29. ustaz, tadi ustaz cakap "Ada perkara yang dibenarkan untuk berubah sedikit demi sedikit, selaras dengan...." boleh ustaz jelaskan dengan lebih terperinci? apakah perkara yang dibenarkan berubah sedikit demi sedikit? dan apa pula perkara lain (selain dari yang dialami suzie) yang tidak dibenarkan perubahan sedikit demi sedikit itu? mohon penjelasan ustaz insyaallah..

    ReplyDelete
  30. sebenarnya saya rasa ada dua persoalan yang perlu diperjelaskan disini. 1. soal hukum 2. soal pendekatan. kita pasti soal hukum dan pendirian seperti yang telah diulas oleh UZAR. tapi dalam masa yang sama kita harus sedar bukan mudah untuk menghasilkan perubahan terhadap suzie samada dalam keadaan terpaksa atau kerelaan. pendekatan dakwah mestilah berhikmah dan saranan untuk berhenti wajib dinyatakan dan kita dah menunaikan tanggungjawab kita yang pertama yang perlu dilakukan secara istiqamah dengan kuasa yang ada pada individu pendakwah samada melalui perkataan, tangan, atau hati. tanggungjawab seterusnya ialah memberi kemudahan kepada suzie untuk berubah dengan memberi harapan doa positif, peluang pekerjaan lain, rakan untuk dihubungi, pendedahan agama, berikan masa, dan lain-lain lagi bantuan berbentuk kewangan dan kasih sayang. Hanya Allah swt yang boleh mengurniakan taufik dan hidayah, kita hanya berusaha secara istiqamah dan senantiasa bertawakkal kepada Allah yang Maha ESA. wallahualam

    ReplyDelete
  31. Dakwah,Taklim,Ibadah,Khidmat...semua umat hidupkan amal masjid..malah dirumah amal seperti di masjid...taklim,ibadah,khidmat,dakwah..hanya cara Rasulullah s.a.w semua masalah akan selesai. Dijemput hadir 1,2 & 3 April 2016 di Masjid Jamek Seri Petaling,KL Malaysia kerana majlis istima untuk belajar untuk menyempurnakan agama serta fikir risau Nabi s.a.w iaitu dengan keluar dijalan Allah s.w.t diseluruh alam InsyaAllah. Zon SELANGOR & PUTRAJAYA PADA 30 APRIL, 1&2 MEI 2016 INSYAALLAH SEMUA MUSLIMIN DIPERSILAKAN HADIR. HARAP GAMBAR URUT DIATAS DIKELUARKAN @REMOVE.

    ReplyDelete
  32. Asa syarikat pinjaman pinjaman bersedia untuk meminjamkan mana-mana jumlah yang anda perlukan untuk memulakan perniagaan peribadi anda. kami memberi pinjaman pada kadar faedah 3%, jadi Sila memohon pinjaman pertanian pertanian. jika anda memerlukan hubungan pinjaman e-mel kami: asaloantransfer@gmail.com, anda juga boleh menghubungi e-mel ini: finance_institute2015@outlook.com

    Mungkin ada banyak sebab mengapa anda perlu akses kepada beberapa wang tunai tambahan - daripada yang tidak dijangka pembaikan kereta atau rumah untuk membayar untuk perkahwinan anda atau cuti khas. Tetapi apa sahaja yang anda memerlukannya, apabila anda meminjam antara $ 5,000 USD untuk 100,000 USD di atas.

    Asa loan lending company are ready to loan you any amount you need to start up your personal business. we give out loan at 3% interest rate, so Kindly apply for agricultural farming loan. if you need loan contact our email:asaloantransfer@gmail.com, you can also contact this email:finance_institute2015@outlook.com, There could be many reasons why you need access to some extra cash – from unexpected car or home repairs to paying for your wedding or a special holiday. But whatever you need it for, when you borrow between $5,000 USD to 100.000 USD above.

    ReplyDelete