Wednesday 20 October 2010

Ketagihan Nafsu 'Gelap' : Bagaimana Tanganinya?

nyalaannafsu.jpg



Terlalu banyak pandangan,ajaran,nasihat tuan ustaz berikan, hanya satu saya minta. Ketagihan nafsu seks ini sangat melampau. Ustaz dan saya juga hanya manusia.
Jadi, bagaimana nak menghentikannya untuk selamanya dan bagaimana untuk dapatkan taubat sebenar-benarnya? Itu yang ustaz perlu ajar pada kami yang lemah ini semua.
Jika tuan ustaz dapat beri jawapan, saya dan mereka yang lemah ini pasti peroleh hidayat dan tuan ustaz pasti akan dapat keredhaan diatas ilmu tuan ustaz. Seterusnya tidak dipersoalkan di mashyar kelak. Akhirnya,ustaz dan kami semua insyallah dipermudahkan utk ke syurga, mohon ihsan ustaz untuk memberi penjelasan. Jazzakallah..wssalam.

Jawapan
Sifat nafsu amarah memang sentiasa mengajak kepada dosa.
Kegagalan pengawalan nafsu syahwat bagi majoriti manusia adalah lumrah, manakala sebahagian yang lain mampu mengekang nafusnya hasil mujahadah (usaha tungkus lumus) luar dan dalam. Namun demikian, adakalanya mereka yang mampu mengawal juga mungkin tertewas.
Allah swt sendiri menyebut perihal kegagalan manusia dalam mengekang nafsu, sebagai contoh dalam ayat :-
أُحِلَّ لَكُمْ لَيْلَةَ الصِّيَامِ الرَّفَثُ إِلَى نِسَآئِكُمْ هُنَّ لِبَاسٌ لَّكُمْ وَأَنتُمْ لِبَاسٌ لَّهُنَّ عَلِمَ اللّهُ أَنَّكُمْ كُنتُمْ تَخْتانُونَ أَنفُسَكُمْ فَتَابَ عَلَيْكُمْ وَعَفَا عَنكُمْ
Ertinya :
Dihalalkan bagi kamu pada malam hari bulan Puasa bercampur dengan istri-istri kamu; mereka itu adalah pakaian bagimu, dan kamu pun adalah pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahwasanya kamu tidak dapat menahan nafsumukarena itu Allah mengampuni kamu dan memberi maaf kepadamu..." (Al-Baqarah : 187)
Melalui ayat ini, sebahagian umat Islam gagal mengikat nafsu syahwat kelaminnya, hingga ‘bersama' isterinya di siang hari Ramadhan. Dengan segala kelemahan manusia, Allah swt membenarkan suami isteri untuk bersama di malam hari Ramadhan, Namun, itu pun masih ramai yang terlepas melakukannya di siang hari, maka Islam menetapkan cara dendanya bagi menebus kesalahan tersebut.
Kifarah adalah satu bentuk denda dan taubat yang diarahkan oleh Allah memberi indikasi, taubat yang ikhlas dan bersungguh pasti diterima Allah swt. Manusia akan melakukan kesalahan dan taubat adalah jalannya apabila telah terlanjur. Cara untuk taubat, sila rujuk beberapa jawapan saya sebelum ini (rujuk ketiga-tiga artikel di www.zaharuddin.net) :-
  1. ·         Zuriat dan keluarga zina
  2. ·         Gadis Hampir terlanjur
  3. ·         Lelaki telah terlanjur
    Allah swt juga menegaskan :-
    إِنَّ النَّفْسَ لأَمَّارَةٌ بِالسُّوءِ إِلاَّ مَا رَحِمَ رَبِّيَ إِنَّ رَبِّي غَفُورٌ رَّحِيمٌ
    Ertinya : Sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. ( Yusuf : 53)
    BAGAIMANA MENGEKANG NAFSU ?
    Ringkasnya, saya ingin mengingatkan yang bertanya dan kita semua bahawa tugas mengekang dan melawan kehendak nafsu syahwat sememangnya bukan tugas yang mudah. Itulah sifat sebuah peperiksaan penting lagi besar, kehidupan dan cabaran yang diberikan oleh Allah swt semuanya adalah peperiksaan untuk menapis antara mereka yang bersungguh, ikhlas dan beriman dan yang kurang dan tidak beriman?.  Bagi yang berjaya, tempatnya amat hebat di Syurga Allah swt.
    Justeru, kita tida perlu mengeluh dan hairan dengan ketagihan nafsu, kedegilannya, kesukaran menanganinya dan mengawalnya.
    Apa yang perlu adalah : -
    1. Mengukuhkan azam untuk berubah. Ia sukar untuk diajar melalui tulisan, tetapi kesedaran dan keinginan inilah yang perlu, untuk bertindak.
    2. Mengenal pasti sumber dan punca yang boleh membiakkan kekeuatannya lalu dengan segera dipotong dan dihapuskan.
    3. Mengenalpasti cara, suasana, tempat dan individu yang dapat menarik kita kepada kelupaan syahwat. Setelah itu, usaha untuk mewujudkan suasana, tempat cara itu, usaha pula untuk berdamping dengan idnvidiu itu.
    Kesimpulannya, proses ini memerlukan kepada pantang larang dan kemestian. Ada yang pelru pantang dan ada yang perlu dibuat. Ia proses sunnatullah untuk segala jenis penyembuhan sama ada hati dan iman yang berbentuk spiritual dan juga tubuh fizikal.
    Seperti menangani, penyakit kencing manis dari sudut konsepnya.
    Pesakit kencing manis akan menghadapi cabaran mengawal nafsu makan yang tinggi, dia terhalang dari menikmati juadah lazat-lazat. Pantang ini dilaksanakan dengan keterpaksaan, bukan?. Keterpaksaan itulah satu mujahadah.  Cuba fikirkan, bagaimana pantang ini akhirnya mampu didisplinkan?, Itulah salah satu jalan permulaan.
    Pesakit kencing manis serius ini hanya akan mampu mengawal nafsu makannya jika dia punyai keyakinan dan kefahaman terhadap akibat buruk melanggarinya.
    Dia juga boleh mengawalnya hasil kehendak dalaman dirinya sendiri, didasari oleh kefahaman jitu tentang implaksi dan keburukan yang akan melandanya jika gagal mengawal nafsu makannya.
    Bagi nafsu syahwat seks 'gelap' pula, kekuatan iman perlu dipasak awal, kita perlu yakin dan faham akibat buruk yang menunggu akibat darinya seperti :  
    1. azab api neraka, 
    2. azab kubur, 
    3. mati buruk (suul khatimah) dalam kemaksiatan 
    4. kejauhan dari rahmat Allah swt serta 
    5. tiada peruntukan Syafaat baginda nabi s.a.w 
    6. dan lain-lainnya.
      Memang benar, implikasi buruk ini semuanya berupa hal-hal ghaib, namun bukan itu sahaja, terdapat  banyak pula implikasi buruk di dunia yang mesti disenaraikan di dalam minda dan hati seperti:-
      1. penceraian akan berlaku akibatnya, 
      2. pasangan zina mengandung, 
      3. bunuh anak luar nikah akhirnya mungkin berlaku akibat malu, 
      4. mungkin penceraian akan berlaku akibat darinya, 
      5. apa akan jadi kepada anak-anak ?, 
      6. kejian masyarakat, 
      7. ditangkap basah dan diumum di media, 
      8. adik beradik mengeji, 
      9. akan dijangkiti HIV dan seterusnya AIDS & mati, 
      10. dibuang kerja kerana imej buruk kepada syarikat 
      11. dan banyak lagi boleh disenaraikan.
        Pasakkan semua implikasi negatif berbentuk spiritual (ghaib) dan fizikal ini di dalam minda setiap kali nafsu syahwat itu ingin dituruti atau mempengaruhi, harapannya ia nyalaannya akan mengecil.
        Sehubungan itu, tentulah proses pertama untuk mengekang nafsu syahwat seks 'gelap' ini adalah  dengan meningkatkan ilmu dan keyakinan terhadap kedua-dua ilmu, ghaib dan fizikal, iaitu kesan buruknya. InshaAllah ia akan mampu menjadi pendinding awal sebelum berlakunya dosa dorongan syahwat nafsu itu.
        ORANG BERILMU JUGA RAMAI YANG MENYELEWENG?
        Tidak dinafikan, ramai juga orang yang sudah punyai ilmu tetapi masih jatuh dan terlanjur melakukan maksiat berupa ini, sama ada serius atau tidak, besar dan kecil.
        Tatkala itu, datanglah fungsi taubat yang disebut oleh Allah swt di atas, berbekalkan kefahaman dan asas yang sudah ada, usaha mengukuh dan menyuburkannya lebih mudah daripada individu yang tiada asas dan pasak yang kukuh.
        Kerana itu, binalah pasak dan akar iman dan ilmu dengan segera terlebih dahulu, tanpanya, sebarang perubahan kepada kebaikan akan terbantut di suku perjalanan dan amat mudah terseleweng akibat gangguan lain di pertengahannya.
        SENARAI ‘YANG JANGAN'  DAN ‘YANG PERLU' UNTUK TINDAKAN
        Sebagai kesimpulan, sebagai tambahan kepada penjelasan di atas, disertakan beberapa cara, usaha, kaedah dan jalan untuk mengawal nafsu syahwat secara ringkas dan padat (tidak mengikut aturan tertib) :-

        1. Fikirkan target kehidupan dan usahalah melaksanakannya, pinggirkan pemikiran berkenaan seks dan syahwat, sedaya mungkin. Sibukkan diri mencapai target tersebut.
        1. Datangkan keyakinan Allah maha melihat apa yang dilakukan di ketika ramai dan sendirian ,Allah swt sedang melihat apa yang sedang kita lakukan.
        1. Sedarkan diri malaikat turut sentiasa bersama kita mencatat apa yang ditulis, diucap dan dilakukan.
        1. Rapatkan hubungan dengan ahli keluarga yang baik dan soleh.
        1. Putuskan hubungan ‘songsang' dan ‘gelap' sama ada yang dibuat secara suka-suka atau serius, yang diperolehi melalui internet atau fizikal, melalui laman chat, email, web dan sebagainya. Putuskan semua medium yang boleh mendorong kepada peningkatan syahwat. Jika berseorangan di hadapan komputer itu boleh menyebabkan pemikiran syahwat naik, maka elakkan diri berseroangan di hadapan komputer. Jika berbual mesra dan makan tengahari bersama dengan rakan sekerja lain jantina itu puncanya, elakkan diri darinya dan makan sendirian bersama yang sama jantina sahaja.  Begitulah seterusnya.
        1. Putuskan hubungan adik, kakak dan abang angkat berlainan jantina kerana ia tidak lain kecuali haram dan pendorong maksiat.
        1. Ubah rutin kehidupan yang mendorong kepada peningkatan syahwat, semua orang tahu dan sedar apa jenis tindakan yang boleh mendorong syahwatnya, ia mungkin tidak sama antara satu sama lain.
        1. Hadiri majlis ilmu dan sibukkan diri membuat target baru seperti membuat blog dan update, menulis buku dan majalah, menghasilkan karya seni lukisan dan sebagainya. Buat satu target lain dalam hidup yang boleh menyibukkan diri anda untuk mencapainya. Tanpa target dalam kehidupan, keinginan syahwat akan membiak dan berkembang akibat waktu kosong.
        1. Sertai kumpulan bersifat keagamaan yang boleh membawa kepada ingatan kepada Allah, tapi awas elakkan kumpulan songsang dan ajaran sesat.
        1. Sertai kumpulan NGO atau kumpulan berasaskan dakwah dan kegamaan, dengannya membuka ruang mendapat rakan dan sahabat yang baik, selain itu masa kosong dan pemikiran syahwat akan dapat dibendung hasil kesibukan menganjur program dalam kumpulan terbabit. Sekarng, mulakan usaha mencari kumpulan-kumpulan sebegini, sebagai contoh JIM, TABLIGH, ABIM, GAMIS, Persatuan Peguam Syarie, Persatuan Pengguna Islam, Yayasan AMAL, NISA , KARISMA dan sebagainya. Diharapkan dengannya waktu akan lebih terisi dengan program yang baik.
        1. Kalau anda sedang bekerja atau belajar, target untuk cemerlang dalam pelajaran dan kerja anda, dengan itu anda akan lebih sibuk dari biasa dan pemikiran akan lebih terarah kepada tujuan yang digariskan, dengan itu, pemikiran kepada syahwat akan mula menurun atau ruangannya disempitkan
        1. Ziarahi kubur secara kerap agar syahwat menjadi tawar akibat pemikiran kepada kematian.
        1. Fikirkan bahawa anda akan mati ketika sedang melakukan maksiat itu, adakah redha untuk menerima kematian dalam situasi itu?. Fikirkan selalu.
        1. Kalau sedang anda bersyahwat kepada seorang wanita sama ada di kaca internet, tv atau fizikal, segeralah berfikir tentang yang hodoh tentangnya agar syahwat menjadi menurun, seperti fikirkan mulut dan nafasnya berbau busuk, giginya kotor, muntahnya busuk, ada penyakit keputihan dan lendir,  najis tidak dibasuh bersih, ada AIDS  dan banyak lagi. Lawan nafsu yang sedang meningkat dengan mereka cipta perkara yang bertentangan dengan keseronokan nafsu. Ini diperlukan jika pemikiran terhadap alam ghaib dan akibat buruk gagal membendung perasaan.
        1. Kalau komputer dan internet kerap menjadi asbab peningkatan syahwat, perdengarkan bacaan Al-Quran setiap kali di hadapan komputer, InshaAllah dengannya rasa malu akan timbul, kalau tidak banyak, sedikit.  Kalau syahwat masih menggila di hadapan komputer itu, segera berhenti dan keluarlah dari bilik dan melihat awan, langit, pokok dan laut dan ingtakan kebesaran Allah.
        1. Jangan sesekali membiarkan diri terus menerus dipukau nafsu dan syaitan, satu jurus langkah kepada maksiat adalah kunci untuk Syaitan menjerumuskan kepada maksiat yang lebih besar. Apa sahaja perbuatan yang mampu mendorong kepada kehampiran kepada maksiat yang lebih besar mesti disekat segera.  Kerana itu Allah swt mengingatkan :-

        وَلاَ تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ
        Ertinya : Dan janganlah kamu menuruti langkah-langkah Syaitan, sesungguhnya dia adalah musuh kamu    yang amat jelas ( Al-Baqarah : 168 )


        1. Menjaga pemakanan, pastikan makan makan yang halal dan bersih. Makanan haram mendorong kepada syahwat yang lebih liar.
        1. Memastikan harta yang perolehan adalah dari sumber halal. Sumber haram menambah perisa syahwat kepada yang lebih kuat dan dahsyat. IBarat mutasi virus yang lebih merbahaya kepada kesihatan.
        1. Amalkan puasa sunat, zikir secara berdisplin setiap kali (baca zikir mathurat contohnya) selepas solat dan doa sebanyak mungkin semasa sujud di dalam solat agar diberikan kekuatan untuk mengawal nafsu syahwat.
        1. Segara beristighfar dan bertaubat walau belum jatuh dalam maksiat yang berat.

        وَسَارِعُوا إِلَى مَغْفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَاوَاتُ وَالأَرْضُ أُعِدِّتْ لِلْمُتَّقِينَ
        Ertinya : dan bersegeralah kamu kepada keampunan dari Tuhanmu dan syurga yang terbentang seluas langit dan bumi, disediakan bagi orang bertaqwa ( Al-Imran )

        Demikian beberapa cara, usaha dan kaedah yang mampu saya senaraikan demi membantu sesiapa sahaja untuk mengawal dan mengekang nafsu. Sekali nafsu sudah merasuk hati dan aqal, seseorang individu akan lupa hakikat sebenar dan ditipu oleh kenikmatan sementara. Lupa kepada keburukan kekal yang menanti. Sama-sama kita ingat-mengingati. Akhirnya Allah berfirman :-
        قَدْ أَفْلَحَ مَن زَكَّاهَا * وَقَدْ خَابَ مَن دَسَّاهَا
        Ertinya : Telah berjayalah orang yang membersihkan hatinya dan telah rugilah mereka yang mengotorkannya (Al-Shams : 9-10)

        Sekian

        Zaharuddin Abd Rahman
        29 Julai 2009

        10 comments:

        1. salam ustaz...mohon share ilmu yg ada ni utk org2 yg memerlukannya ya..

          ReplyDelete
        2. salam ustaz.. mohon share....

          ReplyDelete
        3. semoga ramai yg membaca... untuk hidayah hanya Allah yg beri. Nabi pun tak boleh bagi hidayah. Ustaz,(ulama) tempat kita mintak nasihat, Allah tempat kita minta hidayah... jadi, fikir2kanlah. Ya Allah berilah hidayah kepada hambamu yg lemah dan sangat mengharap ini.

          ReplyDelete
        4. ustaz, sy copy dan letak di blog saya utk peringatan buat diri saya jika sy rasa tidak tenteram dan sukar untuk membuat keputusan..halalkan ye ustaz.terima kasih

          ReplyDelete
        5. Mengikut pakar psaikologi salah satu punca kenapa sebahagian manusia begitu kuat ketagih seks ialah kerana selalu berimaginasi ke arah itu. Jika ada masa terluang yang selalu di fikirkan ialah seks dan tak ada yg lain. Bagi manusia otak atau fikirannya lah yg perlu dikawal. Jadi belajarlah bagaimana mengawal fikiran supaya sentiasa terarah dan tak keruan.Jika fikiran kita kuat dan power insya Allah segala tindakan kita akan betul. Jika sebaliknya kita akan jadi manusia yg dirundung pelbagai masalah. Jika begitulah keadaannya maka setanlah yg menjadi teman rapatnya.Jawabnya org itu akan musnah menjadi hamba nafsu.Dlm Quraan ada sebut " Tidak kah kamu heran wahai Muhammad, sebahagian manusia mengambil hawa nafsunya menjadi tuhan yg disembah." Sebagai tambahan kita kena jaga mata,mulut dan telinga kerana itu semua panca indera yang menyampaikan maklumat kepada otak. Kalau maklumat tu salah(buruk) yang terhasil adalah buruk belaka. Sebab itu dlm Quraan Allah perintahkan supaya lelaki dan wanita kena jaga mata " .......kendaklah kamu menundukkan pandangan mu." Anggaplah seks itu nikmat Tuhan kpd manusia.Jadi salurkan nikmat itu ke jln yg betul. Salah guna nikmat itulah yg di katakan kufur.....Masya Allah fikir-fikirkan lah.Sekian dari saya http://www.onemas-jendelailmu.blogspot.com

          ReplyDelete
        6. Assalamualaikum w.b.t

          Ingin menyumbang idea.....

          Apa pendapat Ustaz, jika menggunakan kaedah mengenakan hukuman berbentuk material jika perbuatan buruk ini dilakukan. Cth: Jika sekali buat, wajib dibayar dengan hukuman memberi sedekah untuk Masjid atau fakir-fakir miskin. Jika masih diulang kadar hukuman sedekah wajib akan meningkat dan terus meningkat sehingga si pembuat merasakan perbuatannya itu telah mengumpul banyak dosa berdasarkan perkiraan jumlah wang hukuman yang dikeluarkan...

          ReplyDelete
        7. Assalamualaikum Ustaz harap dapat Redha Ilmu kepada saya sebagai pembaca , terima kasih.

          ReplyDelete
        8. Assalamualaikum ustaz. Mohon share artikel ini. Terima kasih.

          ReplyDelete
        9. Mohon share dalam blog saya....HIDUP MESTI DITERUSKAN

          ReplyDelete