Tuesday 19 October 2010

Masih Belum Laju !


tourannew.jpg
Germany, sebagai salah sebuah negara maju di dunia, amat terkenal dengan sejarah pembahagian Jerman Barat dan Timur, dipisahkan oleh tembok Berlin, kemudiannya sejarah tercipta apabila menjadi ia menjadi sebuah negara, ‘Germany' iaitu dengan runtuhnya tembok penghadang tersebut.

Pengalaman berprogram di empat tempat di Jerman (Wolfsburg, Saarbrukeen, Albstact dan Frankfurt), memandu dengan jarak 2000 km di atas jalan raya dan lebuh raya Jerman menemukan saya dengan beberapa pengalaman dan pengajaran menarik. Ingin saya kongsikan satu antara beberapa pengalaman tersebut.
PECUT SESUKA HATIMU DUHAI PEMANDU?
Sebelum sampai ke Jerman lagi, beberapa rakan sudah pun memaklumkan berkenaan kebebasan pemanduan di Jerman kerana tiada had laju. Tiada had laju? Benarkah?..
Apabila sampai di Jerman, ternyata fakta itu tiadalah benar secara keseluruhannya dan tidak pula salah sepenuhnya.
Yang salah, sebenarnya terdapat banyak juga had laju pemanduan di Jerman, sama ada pada had laju, 50, 70, 90, 100, dan 110 km/j. Ia tertakluk kepada jenis kawasan dan keadaan jalan raya dan lebuh raya itu.
Yang benar, memang terdapat banyak kawasan lebuh raya dan jalan raya yang tiada ditentukan sebarang had laju. Pandulah sesuka hati, selaju mana yang kamu berani dan rasakan sesuai.
Satu pengalaman yang agak menarik memikirkan bagaimana negara ini boleh membenarkan rakyatnya memnadu dengan kelajuan tanpa had. Menurut statistik yang sempat saya rujuki, didapati di bahagian Eropah, negara terburuk dari sudut jumlah kemalangan kereta adalah Itali dan diikuti Poland dan United Kingdom. Perancis dan Jerman berada di dalam senarai yang sederhana.
Cukup mengkagumkan, sebuah negara yang membenarkan pemanduan tanpa had tetapi masih mencatatkan kemalangan yang kurang berbanding negara-negara yang meletakkan banyak had seperti United Kingdom yang menghadkan kelajuan 90 batu/j (115 km/j) sahaja di lebuh raya mereka, selain itu, lebuh raya juga dipenuhi kamera (sama ada kamera untuk keselamatan dan kejaluan kenderaan). Perancis pula menetapkan 130 km/j sebagai had paling laju di atas lebuh raya. Pengalaman saya memandu di Perancis sekitar 800 km di atas lebuh raya dan jalan rayanya, memperlihatkan pemanduan di Perancis hampir sama seperti Malaysia, ada had laju tetapi ramai yang langgar dan kurang kamera perangkap kelajuan di kiri kanan jalanraya.
BERAPA KELAJUAN SAYA?
"Berapa laju abang bawa tu, rasa macam melayang ni" Kata isteri saya di tempat duduk belakang.
"tak berapa laju pun" jawab saya ringkas
Sudah tentu, atas rasa tanggungjawab sebagai seorang ‘ustaz', adakalanya terasa malu untuk membawa terlalu laju, namun jika ada keperluan terpaksa juga ditekan pedal minyak sehingga habis. Sedar ia salah tetapi keperluan umum dirasakan lebih utama pada ketika tertentu.
Bagaimanapun, hal berlainan di Jerman, saya tidak perlu rasa bersalah bila memecut, kerana ia HALAL. Diluluskan kerajaan. Walaupun demikian, semasa saya memandu di atas highway Jerman yang tiada had laju, saya masih terasa sedikit kurang biasa untuk memecut laju khususnya apabila sudah 9 bulan terbiasa memandu ikut had laju yang begitu ketat di United Kingdom, tetapi apabila dilihat jalan kosong dan lurus, nagivator pula menunjukkan jarak destinasi yang masih jauh, saya mula menekan minyak kereta sewa Volkswagen Touran saya.

tourannew.jpg


Gambar : Inilah kereta sewa Volkswagen Touran saya sepanjang di Eropah 
Alhamdulillah rezeki saya dapat menyewa kereta sebaik dan berkualiti seperti Volkswagen Touran ini, sebuah MPV 7 seater dan masih kelihatan kecil dari luarnya tetapi selesa untuk saya dengan 6 orang ahli keluarga beserta 5 buah bagasi. Kereta ini pula masih amat baru, enginnya memang lancar dengan milage yang baru mencecah 15,000 km sahaja.
"Berapa meter tu abang" Tanya isteri saya lagi.
"baru je 180 km/j"
Tidak laju bukan?. Kelajuan maksimum Tourran ini adalah 260 km/j. Namun dengan muatan penuh kami sekelurga dan 5 beg berat, mungkin semput juga untuk mencapai kelajuan tinggi.
Semua kereta lain juga laju, adakalanya saya cuba menyaingi mereka pada kelajuan itu. Di jalan yang kosong di depan dan belakang, saya menekan 180 km/j. Terasa cukup selesa memecut di lebuh raya 2 dan 3 lorong.
Banyak kali ketika saya memecut, di belakang dan depan saya adalah kosong, tiada kereta di lorong yang sama.
Namun, tidak sampai 2 minit apabila menjeling cermin sisi dan belakang, terperanjat melihat dua buah kereta sedang berkira-kira memberi isyarat meminta laluan memotong. Seolah-olah sedang `berkata` kepada saya
"sila ke tepi, anda masih belum laju!"
Betul, saya terperanjat, baru sekitar 1 minit tadi lebuh raya yang luas dan panjang kelihatan kosong sepanjang-panjang belakang dan depan kereta saya, tidak semena-mena dalam 1 minit, dua buah kereta sudah mengepit meminta lalu. Laju sungguh mereka, ketika itu saya sedang memandu selaju 180 km/j. Bermakna mereka tentu memandu melebihi 200 km/j, kerana dalam tempoh 1-2 minit sahaja, kereta mereka sudah hilang dari pengelihatan depan saya.
JERMAN NEGARA KERETA
Di Jerman, biasanya kereta yang meminta laluan memotong ini adalah dari tiga jenis iaitu BMW, Mercedes dan Audi, sekala sekali laluan saya berikan kepada kereta jenis Porsche, amat jarang kelihatan Ferrari.  
Nampaknya, memang Jerman adalah sebuah negara kereta, benar-benar meraikan kualiti dan kebolehan kereta. Khususnya kereta ciptaan negera mereka sendiri.
Saya terfikir, apakah gunanya kereta-kereta dicipta dengan kelajuan yang boleh mencecah lebih dari 130 km/j jika sekiranya hampir sesebuah negara  tidak membenarkan kelajuan melebihi had laju itu?. Bukankah lebih baik, kereta yang dieksport ke negara tersebut dicipta dengan kelajuan 130 km/j sahaja, hanya kereta polis  sesuai dicipta dengan kelajuan maksimum yang lebih.
Ini kerana, apa gunanya kereta yang boleh memecut lebih dari had laju 130 km/j, jika setiap kali pecutan  yang dibuat itu adalah satu jenayah atau kesalahan. Hanya bergantung kepada nasib si pemandu, sama akan disaman polis atau tidak, ditangkap oleh kamera atau tidak sahaja.
Berbeza di Jerman, yang amat mesra dengan kereta. Apa yang menyebabkan mereka boleh memberikan kelonggaran sedemikian rupa?
Saya tidak melakukan sebarang kajian, cuma secara sepintas lalu saya terfikir mungkin kerana dua sebab,
Pertama : sikap dan ragam pemandu yang berhemah, ini jelas, dari pengalaman saya memandu di Wolfsburg dan lain-lain kawasan. Adakalanya sampai di beberapa tempat di lebuh raya, had laju diletakkan, tatkala itu perlahan-lahan pemandu yang memandu pecut mencecah 200 km/j tadi akan menepati kelajuan ditetapkan. Inilah sikap pemandu yang cemerlang, kerajaan mereka pula amat bertoleransi, memberikan kebebasan kelajuan di kawasan yang sesuai, dan hanya akan diletakkan had laju di tempat yang sesuai dan bersebab juga.
Kedua : Kualiti kereta yang diyakini. Bayangkan kereta sewa saya (Volkswagen) bukan sahaja mempunyai airbags di sebelah pemandu dan penumpang depan sebagaimana kebanyakan kereta, tetapi juga atas depan, atas tengah dan belakang. Banyaknya airbag? Tentu harganya mahal!
Harganya sederhana, sesuai dengan pendapatan purata rakyat Jerman iaitu Euro 1500 sebulan, Harga sebuah MPV 7 seater yang amat berkualiti seperti Volkswagen Touran adalah Euro 30,800 sebuah. ‘Volkswagen' adalah di dalam bahasa German beerti "kereta rakyat". Harganya berpatutan tetapi kualitinya tinggi, menjadikannya salah satu kereta paling popular di Jerman, hampir menjadi seperti Proton dan Perodua di Malaysia, bezanya adalah kualiti.
Amat sukar dilihat kereta yang agak buruk dan lama di atas lebuh raya Jerman, Sekadar pengiraan ringkas saya, sepanjang lebih 24 jam penuh memandu di atas jalan raya Jerman, hanya sekitar 10 % kereta yang agak buruk dapat dilihat, yang lain semuanya baru dan sederhana baru. Jika ada yang lama sekalipun, ia dari jenis yang mewah dan berkualiti.
Untuk itu, bolehlah saya gelarkan Jerman ini sebagai sebuah ‘Negara Kereta'. Di sinilah lahirnya kereta-kereta berkualiti seperti BMW, Mercedes Benz, Audi, Porsche, Opel, Volkswagen dan Smart. Di sini juga kereta berkualiti ini dibenarkan dipandu selaju yang diingini di atas jalan raya dan lebuh raya biasa, bukan di litar lumba sahaja.
Jika Malaysia ingin meniru langkah Jerman, sikap pemandu Malaysia perlu diperbetulkan dahulu, dan kualiti kereta perlu ditingkatkan, khususnya ‘kereta rakyat' bagi orang Malaysia.
Sesudah itu, boleh kita sama-sama pecut di atas jalan raya Malaysia dengan ‘halal'!! Atau adakah industri kereta ini lebih sesuai dijadikan sumber pendapatan utama bagi sebuah pasukan Polis.?

Sekadar itu dahulu catatan pantas saya kali ini.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman
29 Mei 2009
Saarbrukeen, Germany

2 comments:

  1. salam..
    mmg betul di sesetengah highway di germany takda had laju.. masa saya 1st time visit germany pun macam ala2 jakun jgk.. hehe..
    yang bagusnya jalanraya di germany sgt cantik. takde tampal2 atau lobang2.. kalau bawak laju pun sedap je.. lagipun kereta kat sana byk yg high performance.. maklumlah germany.. tp satu je.. dia left hand drive jadi utk malaysian mungkin kena drive hati2 sikit sebb tak biasa.

    ReplyDelete
  2. wahhh...memang 'jakun' jugak sepanjang saya membaca hasil tulisan pantas ustaz tadi.Sebelum ni suami saya berkali-kali menyuarakan ketidakpuasan hatinya yg membelanjakan sejumlah wang yg besar utk membeli sebuah mercedes tp had laju di m'sia melarang kita memecut sesuka hati...
    mungkin kami patut makan angin ke sana utk merasai sendiri kepantasannya...he he

    ReplyDelete