Friday, 19 November 2010

Dosa-dosa dan Facebook


  
facebook-logo.jpg



Semenjak empat bulan terlibat dalam menyampaikan mesej kebaikan, melarang kemungkaran melalui facebook. Disedari terdapat beberapa cara penggunaannya yang patut ditegah dan boleh jatuh perbuatan tersebut kepada haram, malah berganda-ganda haramnya.
Perlakuan dan perbuatan melalui facebook yang boleh mengundang dosa terlalu banyak, namun di kesempatan ini, cukup saya senaraikan enam perkara, iaitu :-
1)   Mendedah keaiban suami, isteri di facebook.
Terdapat beberapa kes yang dilihat sama ada secara langsung atau tidak langsung, pemilik facebook meluahkan perasaan sedih, kecewa, benci, marah terhadap pasangan di ruang status mereka. Mendesak suami atau isteri juga melalui status facebook. Kemudian, status tersebut mendapat komentar pelbagai dari rakan-rakan mereka.  Sebagai contoh, ada yang secara terbuka mendesak suami membeli rumah, kereta, pinggan mangkuk, perabot, pakaian dan sebegainya melalui status mereka. Tertekanlah suami  serba salah.

Sebagaimana yang disebut oleh ramai specialist di dalam bidang rumah tangga, kebanyakan wanita suka berkongsi dan meluahkan perasaan mereka kepada orang lain sebagai pelepas kepada beban yang ditanggung. Adakalanya ia mungkin bukan bertujuan untuk menjatuhkan suaminya, bukan pula untuk tujuan membuka aib suami atau untuk mencari penyelesaian. Pendedahan itu hanya sebagai pelepas tekanan di dalam diri.

Namun, tanpa disedari perbuatan tersebut tergolong dalam mengumpat yang diharamkan oleh Islam. Semua perlu memahami bahawa mereka tidak boleh sewenangnya bercerita perihal rumahtangga atau pasangan mereka secara terbuka sama ada melalui facebook atau kepada rakan di pejabat dan sebagainya. Sebarang masalah yang sudah tidak dapat diselesaikan olehnya, hanya dibenarkan untuk diluahkan kepada seseorang yang diyakini punyai autoriti seperti ibubapa, mertua dan adik beradik yang diyakini boleh berperanan membantu, bukan berpotensi mengeruhkan lagi keadaan. Boleh juga dikongsikan secara tertutup kepada pihak ketiga seperti Qadhi, Mufti, para ilmuan sama ada Ustaz, Ustazah atau Kaunselor Rumahtangga.

Pendedahan masalah dan info yang boleh mengaibkan suami (dan isteri) TIDAK DIBENARKAN sama sekali disebarkan melalui facebook. Apabila ia dilakukan, ia dengan mudah sekali boleh mengundang dosa.
Terdapat sebahagiannya info tidak secara langsung mengaibkan pasangan, tetapi selaku pembaca, kita dapat ‘membaca' dan mengetahui secara tersirat bahawa si pemilik sedang ‘perang dingin' dengan pasangannya. Ada juga yang difahami, suaminya sedang gagal memenuhi apa yang diingininya, bersifat kurang baik kepadanya dan sebagainya. Ingatlah semua, rumahtangga adalah amanah, jangan meruntuhkannya melalui facebook.
Beramanahlah, berikan suami dan isteri anda password facebook anda, agar mereka sentiasa boleh meneliti mesej-mesej yang dihantar kepada anda. Boleh juga pasangan berperanan selaku penyemak dan memadam (delete) mana yang perlu  jika dimasukkan secara emosi tanpa pertimbangan aqal yang wajar.
2)  Terlebih gambar
Ramai di kalangan wanita hari ini sudah mempunyai facebook, mungkin sudah menjadi lumrah wanita yang biasanya inginkan kecantikan dan pujian terhadap kecantikannya. Oleh itu, semakin ramai wanita yang memuatkan gambar mereka, sama ada jarak dekatsangat dekat ( sehingga memenuhi  kotak gambar) dan jauh (beramai-ramai atau seorang diri).  Ditambah pula lagi dengan gaya, aksi dan fesyen yang pelbagai.

Agak pelik juga kerana sebahagian mereka sudah bersuami dan kelihatan suami mereka memberikan sepenuh keredhaan atas tayangan gambar sedemikian kepada khalayak, tanpa sebarang rasa cemburu dan prihatin. Lebih merbahayakan, ramai pula lelaki yang menontonnya, sebahagiannya memberikan pujian, malah ada yang berani bergurau senda, dan membuat ‘lamaran' nafsu.

Lebih pelik, tuan punya facebook yang sepatutnya mampu mengawal dan memadam sebarang komen kurang etika, kelihatan membiarkan sahaja lamaran nafsu (seperti ajakan berdating, kahwin-padahal telah bersuami) tersebut di ruangan komentar gambarnya, tanpa rasa bersalah.

Berterusan bercanda mereka melalui ruang komentar,  si lelaki dan wanita ada juga yang telah beristeri dan bersuami, cuma atas tiket kawan lama, sepejabat dan sebagainya, hal tersebut dibiarkan. Malah jika kedua-duanya masih bujang sekalipun, ia tetap BERDOSA dan SALAH di sisi Islam kerana ia termasuk dalam kategori larangan Allah ‘janganlah kamu menghampiri zina'.

Saya bimbang, ramai pula lelaki yang menjadi dayus dek kerana gambar isteri terdedah aurat ( atau menutup aurat kurang sempurna) ditayang  sehabisnya di facebook. Baca perihal ciri lelaki dayus di sini .

3)  Penyamaran
Lelaki menyamar sebagai wanita untuk menjadi friend dan seterusnya mendapat maklumat wanita. Ada dilaporkan juga, sebahagian lelaki berang kerana tidak diluluskan menjadi ‘friend' seseorang wanita. Akibatnya, si lelaki tidak mendapat kemudahan akses kepada gambar-gambar wanita tersebut. Bagi membolehkannya mendapat akses, terdapat lelaki yang mula menyamar menjadi wanita, meletakkan gambar mana-mana wanita yang boleh dijumpai secara mudah tertebaran di interent, diletakkan sebagai dirinya. Melalui cara itu, lelaki ini berjaya menjadi friend dan menonton seluruh gambar wanita terbabit dan berbuat apa yang disukainya dengan gambar itu.

Si wanita yang pada asalnya merasa selamat kerana merasakan dirinya telah menapis sebaiknya, rupanya masih terdedah gambarnya kepada yang orang yang tidak sepatutnya. Kerana itu, walau anda hanya membenarkanfriend untuk menatapi gambar anda, pastikan semua gambar tersebut masih terhad dan terjaga.

4)  Download gambar untuk simpanan dan tatapan.
Dimaklumkan juga, akibat dek kerana gambar wanita yang terlalu ‘bersepah' difacebook, terdapat lelaki berhati buas yang memuat turun gambar tersebut dan disimpan sebagai koleksi peribadinya. Justeru, sedarlah, mana-mana wanita yang dikurniakan Allah punyai ‘rupa' yang menurut pandangan ramai sebagai elok dan menawan. Golongan sebegini amat perlu sekali lebih berwaspada lebih daripada mereka yang lain.

Malangnya, golongan sebegini kelihatan lebih ghairah menjaja gambar mereka untuk mendapat lebih banyak pujian dan ...'DOSA'. Simpan sahajalah gambar-gambar 'kiut' (cute) anda, cukuplah ia buat tatapan suami. Cukuplah pujian rakan sekeliling yang benar-benar mengenali anda. Tidak perlulah tamakkan pujian manusia luar. 

Tunggu sahajalah pujian para malaikat dan bidadari di Syurga nanti, terlampau tidak sabarkah wahai diri? Sedarilah, ke'kiut'an anda mungkin menjadikan sebuah rumahtangga hancur, kecemburuan wanita lain, kerana boleh wujud gejala suami yang membanding-bandingkan wajah dan tubuh anda dengan isterinya. Jika itu berlaku, pemilik gambar mendapat saham dosa.

5)  Tagging gambar tanpa izin dan gambar silam yang membuka aurat.
Tagging atau menandakan sesuatu gambar yang disiar merupakan satu fungsi mudah untuk menyebarluaskan gambar seseorang termasuk diri sendiri kepada kenalan dan rakan. Malangnya fungsi ini menjadi sumber dosa yang banyak juga dewasa ini. Isu ini juga pernah ditulis oleh beberapa penulis lain seperti Ust Abu Umair dan Sdr Shahmuzir. Saya ingin menegaskan lagi tulisan mereka.

Ini adalah kerana, terdapat ‘trend' menyebarkan gambar-gambar lama, dan kemudian meletakkan tagging kepada individu di dalam gambar. Perlu disedari, setiap gambar yang di'tag', akan muncul dan boleh dilihat oleh semuafriend, dan rakan kepada friend tersebut juga boleh menontonnya

Ini boleh menjadi dosa, kerana :-

a-      Sebahagian individu di dalam gambar terbabit mungkin dahulu tidak menutup aurat, tetapi kini telah menutup aurat. Justeru penyebaran gambarnya yang tidak menutup aurat adalah haram.
b-      Individu terbabit berada di dalam rumah, bersama keluarga, justeru penutupan auratnya tidak begitu sempurna kerana di dalam rumah sendiri atau di dalam keadaan ‘candid', tetapi akibat ketidakperihatinan sebahagian ahli keluarga terhadap hal aurat. Gambarnya yang sedemikian tersebar. Sepatutnya, kita yang di'tanda' boleh dengan segera delete 'tag' itu, hasilnya walau gambar masih tersiar tetapi ia tidak mempunyai sebarang pengenalan. Itu paling kurang boleh dilakukan oleh individu yang prihatin dan berawas-awas. Namun malangnya, sebahagian pemilik facebook tidak sedar mereka boleh ‘untagged' nama mereka. Malah kalau mereka boleh untagged sekalipun, penyebaran gambar sedemikian tetap salah dan berDOSA di dalam Islam.
c-      Gambar mengaibkan orang lain. Gambar yang disiarkan itu, walaupun menutup aurat, tetapi dalam situasi mengaibkan. Mungkin ia tidak mengaibkan individu yang menyiarkannya kerana dia dalam keadaan baik dan bagus. Namun rakannya berada dalam situasi mengaibkan, tambahan pula dia kini merupakan ‘seseorang' yang terhormat, punyai kedudukan baik di mata masyarakat,. Apabila gambar sedemikian disiarkan, ia mencemar nama baiknya. Penyiaran sebegitu sama seperti mengutuknya secara langsung di khalayak ramai, sama ada sengaja atau tidak, semua perlu sedar..anda mungkin bebas menyiarkan gambar anda, namun gambar orang lain. Keizinan perlu diperolehi terlebih dahulu sebelum siaran dibuat.

6. Mengutuk diri sendiri & kebaikan

    Adakalanya terdapat juga wanita-wanita berpenampilan cukup solehah, berpakaian extra caution dalam bab aurat sewaktu zaman universiti atau sekolahnya. Namun sesudah masuk ke alam pekerjaan dan perkahwinan, imejnya berubah begitu drastik dengan make up cukup jelas menghiasi wajah, baju bekerlipan warnanya, yang tebal dahulu sudah jadi nipis, adakalanya tidak sempurna dan macam-macam lagi. Alasannya? Seribu satu macam. Suami pula mungkin bukan dari jenis yang cermat untuk menegur dan menasihat.
    
Yang menyedihkan, apabila tersiar gambar lamanya yang berpakaian extra caution lagi sopan di facebook, disiarkan oleh rakan-rkana lama. Tuan punya tubuh, kelihatan tanpa malu dan segan mengutuk dirinya sendiri sama ada secara langsung atau tidak langsung.  Lahirlah kata-kata, ‘zaman aku ekstrem', ‘zaman solehah', ‘waktu innocent', zaman-zaman suci', 'itu zaman kuno dulu', 'itu masa duduk bawah tempurung' dan lain-lain frasa yang sepertinya.

Tanpa disedarinya, ia mendedahkan keaiban dirinya sendiri, apabila berkata zaman solehah, bermakna kini adakah dia mengaku tidak lagi solehah?, kini tidak suci?. dan lain-lain. Ia juga sekaligus seolah mengutuk pemakaian sopan dirinya dahulu. Ingatlah wahai diri, jika tidak mampu istiqamah atas pakaian dan penampilan dahulu, janganlah sampai mengutuknya. Kerana ia sama seperti mengutuk pakaian yang sopan lagi baik, seolah mendahulukan yang kurang baik.


KESIMPULAN
Itulah facebook, ia boleh menjadi sumber pahala, jika diguna dengan betul, boleh menjadi pemudah azab jika digunakan tanpa ilmu dan limitasi. Berhati-hatilah dan berpada-padalah pemilik facebook.
Niat untuk mendekatkan ukhuwwah antara rakan lama, sekolah dan sebagainya tidak sama sekali boleh menghalalkan sembangan mesra, gurauan senda di antara suami dan isteri orang, antara lelaki dan wanita yang bukan mahram. Ia hanya akan membawa kepada kemudaratan dan keruntuhan rumahtangga. Janganlah lagi mempermainkan nama 'ukhuwah' untuk berbuat dosa.
Ukhuwwah itu hanya terhad sesuatu yang membawa kepada ingatan kepada Allah, mengajak kebaikan dan menjauh kemungkaran. Lihatlah surah al-Hujurat dan fahamkan kalam Allah sebaiknya akan erti ukhuwwah di kalangan mukmin.
Sekian

Zaharuddin Abd Rahman
3 Mei 2010

16 comments:

  1. harap ustaz lebih terbuka bila berbicara soal lelaki dan perempuan. kerana tajuk ustaz di atas adalah general tp ustaz lebih menekankan salah wanita. ramai lelaki lebih menggunakan fb untuk tujuan tidak baik dan memberi komen lucah. kenapa ustaz tidak utarakan soal itu? waallahu a'lam

    ReplyDelete
  2. Pada pendapat saya, ust. tidak ekstrem. Banyak punca permasalahan itu dapat diatasi jika wanita pandai menjaga diri dan menutup dirinya daripada aib. Lelaki ni akan bertindak melampau bila wanita hilang rasa malu. Tapi tidak dinafikan, lelaki juga harus diperingatkan, sebab ada yang nakal walaupun dengan wanita baik.

    apa-apa pun, dua-dua harus jaga diri, terutamanya wanita kerana dirimu begitu berharga

    ReplyDelete
  3. terima kasih ustaz atas pendedahan di atas.
    semuanya ada kebenaran.
    seharusnya fb dijadikan tempat utk meluaskan agama Islam. Insya-ALLAH.

    Insafi diri

    ReplyDelete
  4. sy kurang bersetuju dengan penyataan encik zulkifly yang berikut...

    "Banyak punca permasalahan itu dapat diatasi jika wanita pandai menjaga diri dan menutup dirinya daripada aib"

    sesungguhnya dalam surah an-nur ayat 30 ada menyebut

    Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.

    dan surah an-nur ayat 31 menyatakan

    Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau bapa mentua mereka, atau anak-anak mereka, atau anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.

    Allah telah mendahulukan perintah menundukkan pandangan kepada kaum lelaki terlebih dahulu menunjukkan bahawa kaum lelaki seharusnya menundukkan pandangan menjaga mata dari melihat perkara2 yang mengaibkan..dan menahan anggota dari melakukan perkara2 yang tidak sepatutnya~

    dan seharusnya kaum lelaki menidakkan dan mengelakkan daripada memuji2 perkara yang sah2 haramnya..

    rata2 sy melihat kaum lelaki telah menggalakkan lagi perkara2 seperti ini berlaku kerana pujian mereka yang sememangnya menjadi kelemahan kaum wanita...baiklah kiranya mereka mengambil inisiatif untuk menasihati daripada memuji..jadilah seorang tayyibin..jadilah seorang yang boleh dipercayai..

    tetapi larangan juga ditegaskan kepada kaum wanita..seharusnya menjaga maruah diri masing2..meskipun Allah menegaskan menundukkan pandangan kepada kaum adam dahulu tetapi Allah telah lihat sahaja firman Allah dalam ayat yang 31..lebih panjang bukan? .wanita perlu menjaga tubuh mereka...tubuh mereka adalah tanggungjawab mereka...firman Allah yang panjang ini menunjukkan bahawa tingginya erti maruah wanita yang Allah minta untuk dipelihara..

    kepada semua,

    segala salah silap ataupun jika terdapat kesalahan fahaman saya harap diperbetulkan ~ sy masih dalam proses membaiki diri sendiri..

    terima kasih ustaz :)

    ReplyDelete
  5. ARTIKEL YG TERBAIK!
    apa sahaja yg berintikan kebaikan..adakah perlu kita nak menafikannya? baik laki atau popuan, bukannya x pernah berdosa dan bukan satu jantina sahaja yg ke syurga/neraka..

    sama2lah perbaiki diri..

    ReplyDelete
  6. Ya betul, persoalannya di sini bukan sape yg bersalah, ttp bahana facebook yg menyebabkan tjadi perkara yg kita tidak ingini. . Seperti yg ust zaharudin beritahu, ada wanita yg private gmbrnya, ttp disebabkan penyamaran seseorang lelaki itu menyebabkan gambarnya terdedah juga. . Saya rasa masalah facebook ni lebih kepada Privacy pengguna. . Sepatutnya, pengguna facebook harus pandai memilih perkara yg perlu dikongsi bersama dan perkara yang tidak.

    ReplyDelete
  7. Lelaki dan wanita perlu sama-sama menjaga diri. Jangan suka mendedahkan kehidupan peribadi di laman web yang boleh dieksploitasikan sesiapa sahaja. Ditambah lagi dengan hasutan syaitan yang memberi gambaran indah dlm fikiran kita selepas mendapat pujian dan komen dalam fb. Kita jadi lalai dan terikut-ikut tanpa batasan bersosial di internet. Jadi beringatlah sebelum melakukan apa2 di fb dan internet. Maruah kita dan agama boleh turut tercemar. Oranng kafir ketawa melihat kita terperangkap dalam agenda merosakkan umat Islam melalui internet.

    Wallahualam.

    ReplyDelete
  8. assalamualaikum ustaz..
    macam mane pulak dengan games di facebook?
    contohnya..zynga poker.
    permainan kad guna chip di fb.
    semakin ramai yang main dan tak berapa jelas dengan hukum sebenar.
    pemain akan bertaruh menggunakan virtual chip yang diberi tanpa mengeluarkan wang.adakah berdosa juga main game tersebut?

    ReplyDelete
  9. untuk menjawab sedikti hujah dikemukan NUR AFIFAH NAZRI dari ana yang dhaif ini:

    bagaimana menyekat wanita islam mendapatkan sumber pendapatan melalui modelling, artis, penyanyi dan pelakon dengan aksi ghairah dan pendedahan aurat?

    Adakah director telah memaksa pelakon buka tudung?

    adakah kameramen meaksa memakai bikini atau pakaian mandi?

    adakah syarikat rakaman menggalakkan penyanyi bergelek dan berseksi?

    Sebenarnya dalam isu wanita dalam aurat, ana rasa kalau bertepuk tangan ia tidak berbunyi. Tapi seandainya gadis itu memang sopan dan bertudung labuh, memakai jubah, lalu lelaki (atau bf atau suami) memaksa memakai seksi di kalayak ramai, ana tidak akan menentang hujah NUR AFIFAH NAZRI.

    Isu ini global di mana wanita sangat perlu menjaga aurat. Dalam pemikiran islam sekular, mereka berkata "Wahai wanita, janganlah engkau mencabul lelaki"

    Sifat lelaki mmg mudah terangsang dengan tubuh wanita dan ianya memang sifat lelaki, oleh itu perempuan harus menjaga auratnya agar mata lelaki tertahan olehnya.

    Wallahu alam bissawab

    ReplyDelete
  10. Kalian kamu patut mengambil peringatan dan teguran berdasarkan hakikat kehidupan dalam ugama - jadikan panduan - tidak timbul soal SALAH perempuan atau lelaki.

    Orang kafir pun sedia maklum kalau soal hubungan 2 pihak masing masing ada peranannya sama ada lebih atau kurang. Lebih atau kurang peranan itu bukannya merit untuk saling menyalahkan.

    Adakah konteks artikel disini bersifat menunding atas gender ataukah sebagai ingatan kepincangan dalam kehidupan semasa yang berlaku?

    Nenek tipah pesan...Grow up!

    ReplyDelete
  11. Pendapat Mustaqim memang tepat...Seorang director film atau modeling akan bertanya atau memberitahu terlebih dahulu kepada seorang wanita yang nak berlakon atau menjadi model dia...
    Sanggup tak buka aurat??
    Sanggup tak berbikini???
    Sanggup tak berbogel???

    Ia terletak kpada jawapan si perempuan...sama ada ya atau tidak... bertepatan dengan tajuk topik ini...

    Bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi...

    Tidak akan ada director yang memaksa seseorang perempuan untuk berbogel....

    ReplyDelete
  12. Salam...

    Ini bukan permasalahan gender. Kembali kita kepada pokok persoalan.

    ReplyDelete
  13. As salam Ustaz,
    saya nak tanya tentang club-asteria yang terlalu dipromosikan. Adakah perniagaan ini sesuai dengan islam

    ReplyDelete
  14. salam wbt.

    club-asteria ialah 1 fenomena baru yg sedang meletup.. Setakat yg saya tahu, method2 yg digunakan semuanya halal. saya yakin sgt ramai yg sedang menunggu pandangan ustaz.. mohon pencerahan..

    ReplyDelete
  15. terima kasih ustaz...semoga perkongsian ustaz memberi secebis kesedaran kepada insan yang terlalu fanatik menggunakan fb. segala-galanya di ceritakan di fb...semoga laman ini memberi manfaat kepada kita semua...

    ReplyDelete
  16. Alhamdulillah...saya dah deactivate FB...satu keputusan yang agak susah dan makan masa untuk kuatkan pendirian ini. Sebab saya tahu apa kelemahan saya, lebih baik jauhkan jika kita tak mampu nak displinkan diri sendiri..Wallahua'lam

    ReplyDelete