Wednesday 20 October 2010

Suami Membayangkan Wanita Lain Semasa Bersetubuh


soalan
Assalamualaikum.
Ustaz, saya ada kemusykilan dalam hal kekeluargaan. Begini persoalan saya, ketika saya berjimak suami saya pernah berterus terang dengzn saya dan mengatakan dia sering membayangkan perempuan lain ketika berjimak dengan saya. Alasannya dia mahu masa berjimak di panjangkan dan kenikmatan lebih puas.
Jika saya tidak salah dalam Islam ada hukum zihar, tetapi zihar ni yang saya paham ialah menyamakan angota tubuh badan dengan muhrim. Tetapi dalam kes saya ini terletak dalam ketegori apa? Apa hukumnya, dan adakah ia sama dengan zihar? Perlukah suami saya membayar kifarah seperti zihar? Harap ustaz dapat memberi maklumat yang secukupnya kepada persoalan saya ini.
Sekian Terima Kasih.
JAWAPAN
WALAIKUMUSSALAM,
Menurut majoriti ulama, hukum membayangkan lelaki dan wanita bukan suami atau isteri semasa melakukan hubungan seks adalah diharamkan. Terutamanay jika ia dijadikan kebiasaan, nafsunya terhadap isteri atau suaminya akan semakin pudar dan beralih kepada si lelaki dan wanita luar yang diharamkan buatnya, maka secara mudahnya ia diharamkan kerana tergolong dalam "Muqaddimat az-Zina" atau jalan-jalan permulaan kepada pelakuan haram zina.
Disebutkan oleh para ulama bahawa :
لأن العين تزني وزناها النظر المحرم، والعقل يزني، وزناه الاشتهاء الخيالي المحرم
Ertinya : "kerana mata itu berzina, dan zinanya adalah pandangan yang haram, dan minda juga berzina dan zinanya adalah membayangkan yang diharamkan"
Justeru mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali menanggapnya adalah salah satu bentuk zina. Sama juga haramnya minum air kosong sambil dibayangkan minuman arak. Demikian yang disebutkan oleh Ibn Al-Haj Al-Maliki (Al-Madkhal) , Ibn Abidin Al-Hanafi, Ibn Al-Mufleh Al-Hanbali ( Dipetik dari kitab Ar-Ri'ayah al-Kubra oleh Ibn ‘Aqil).
Bagaimanapun tidaklah hukumannya seberat zina yang sebenar hingga disebat atau di rejam hingga mati. Cuma ia tergolong dalam saalah satu dosa. Bermakna, berdasarkanhadith Nabi sesiapa yang mendatangi isterinya maka ia beroleh pahala, maka dalam hal ini, ia beroleh dosa kerana pemikirannya itu.
Sebahagian ulama Syafie hanya menanggapnya sebagai makruh dan hanya tergolong dalam bab haram kerana "Sadd az-Zariah" iaitu bagi menutup jalan-jalan maksiat yang mungkin berlaku hasil perbuatan tersebut. Adapun sebagaia yang diketahui oleh para ulama, setiap perkara yang diharamkan atau tidak digalakkan kerana Sadd Az-Zariah adalah harus di ketika diperlukan. Bermakna, menurut pandangan sebahagian ulama Syafie, jika si suami sebagai contoh amat tidak mampu bersama dengan isterinya kecuali jika membayangkan wanita lain, jika tidak mereka akan bercerai atau pelbagai mudarat besar lain akan berlaku, di ketika yang khas demikian, perbuatan tadi menjadi baginya. Berdasarkan kaedah
أخف الضررين
Ertinya : "Mudarat yang lebih ringan" ( Al-Asbah Wa An-Nazair, As-Suyuti)
Walaupun demikian, terdapat sebahagian ulama Syafie yang lain sependapat dengan mazhab lain dalam hal mengharamkannya, Antaranya yang disebut oleh al-Iraqi ( Rujuk Torhu At-Tathrib) 
لو جامع أهله وفي ذهنه مجامعة من تحرم عليه، وصور في ذهنه أنه يجامع تلك الصورة المحرمة فإنه يحرم عليه ذلك
Ertinya : "Sekiranya ia menyetubuhi isterinya dan di dalam pemikirannya seseorang yang haram baginya, maka ianaya adalah haram baginya dan setiap penyerupaan itu"
Kesimpulan saya
Memang benar, sebuah Hadith Qudsi menyatakan bahawa
وإذا تحدث عبدي بأن يعمل سيئة فأنا أغفرها له ما لم يعملها، فإن عملها فأنا أكتبها له بمثلها، وإن تركها فاكتبوها له حسنة ، إنما تركها من جراي" أي من أجلي
Ertinya : Apabila hambaku bermonolog (memikirkan) untuk melakukan satu kejahatan , maka Aku ( Allah) akan mengampunkannya selagi mana ia tidak melakukannya, dan jika ia lakukannya maka aka dituliskan baginya satu dosa, dan jika ditinggalkannya dituliskannya satu pahala, sesungguhnya ditinggalkannya keranaKU" ( Muslim)
Bagaimanapun pendalilan menggunakan dalil ini untuk mengharuskan tindakan tadi adalah ditolak oleh majoriti ulama kerana pemikiran sedemikian termasuk dalam kategori permulaan zina yang juga diharamkan oleh Allah SWT.
Malah bukan semua hasrat dalaman hati itu terkecuali dari dosa, malah masih terdapat bentuk yang juga akan diazab seperti hadith lain yang berbunyi :-
إذا التقى المسلمان بسيفهما فالقاتل والمقتول في النار
Ertinya : Apabila bertemu dua Muslim dengan pedang masing-masing berbunuhan satu sama lain, maka keduanya di dalam neraka"
Nabi menambah apabila ditanya sahabat akan mengapa yang dibunuh juga ke neraka dengan kata Baginda :
إنه كان حريصًا على قتل صاحبه
Ertinya : Ia sangat ingin dan berazam membunuh saudaranya" ( Bukahri dan Muslim)
Ini bermakna apabila ia telah bertindak cuma gagal, ia disamakan dengan mengkhayalakan orang lain ketika persetubuhan yang juga dianggap telah memulakan langkah. Kecualilah jika ia hanya khayalan si bujang.
Pandangan yang terkuat adalah ianya haram sebagaimana majoriti mazhab dan sebahagian ulama Syafie.Sekadar ingin mendapatkan lebih kepuasan dengan tindakan demikian juga adalah haram, malah ia boleh dianggap sebagai suatu penghinaan kepada isterinya. Adapunbagi yang sememangnya amat amat terpaksa, ia boleh menjadi harus dengan syarat tidak memberitahu isterinya atau suaminya akan hal demikian bagi menjaga perasaan mereka. Wallahu'alam. Bagaimanapun ia tidak termasuk dalam kategori zihar.
Sekian
Ust Zaharuddin Abd Rahman
4 Mei 2007

3 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum Ustaz sy ingin brtanya..adakah perlu diulangi mandi wajib sekiranya dia terlupa membasuh atau meratakan air kedalam pusat...tetapi selepas mengakhiri membasuh kaki, dia teringat yg dia belum membasuh pusatnya..kemudian terus membasuhnya...apakah sah mandi wajibnya

    ReplyDelete